Skip to main content

Dunia

Gara-gara enggan menari, Asma Aziz didera dan dibotakkan suami

Seorang lelaki di Pakistan ditangkap selepas didakwa mendera isterinya dengan membogelkannya serta memukul dan membotakkan kepalanya, semata-mata kerana mangsa enggan menari untuk rakan-rakannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Gara-gara enggan menari, Asma Aziz didera dan dibotakkan suami

Asma Aziz didera oleh suaminya semata-mata kerana enggan menari untuk rakan-rakannya. (Gambar-Gambar: Shireen Mazari/Twitter)

Diterbitkan : 30 Mar 2019 10:12AM Dikemas Kini : 30 Mar 2019 10:17AM

ISLAMABAD: Seorang lelaki di Pakistan ditangkap selepas didakwa mendera isterinya dengan membogelkannya serta memukul dan membotakkan kepalanya, semata-mata kerana mangsa enggan menari untuk rakan-rakannya.

Menurut laporan Daily Mail, perbuatan kejam itu mendapat perhatian pihak berkuasa selepas wanita berkenaan, Asma Aziz, mendedahkan perkara itu menerusi media sosial dan merayu orang ramai supaya membantunya.

Asma berkata suaminya, Mian Faisal, dan rakan kerjanya naik berang apabila beliau enggan menari untuk mereka.

"Mereka bertindak membogelkan saya dan mencukur rambut saya. Dia kemudiannya memukul saya menggunakan paip besi. Suami saya juga mengancam untuk menggantung saya pada kipas dalam keadaan bogel," katanya, sambil menangis menerusi video yang dimuat naik pada Rabu (27 Mac).

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, suaminya sering menjemput rakan-rakannya ke rumah mereka. Tingkah laku suaminya yang penyayang semasa mula berkahwin sekitar empat tahun lalu juga berubah selepas enam bulan mereka mendirikan rumah tangga, lapor Daily Mail.

Menerusi rakaman video itu, Asma yang dalam keadaan sebak juga menerangkan bagaimana beliau melarikan diri dari rumahnya sehari selepas serangan itu berlaku.

Asma berkata beliau cuba membuat aduan di balai polis, namun pihak berkuasa enggan menerima kes itu kerana wanita terbabit tidak dapat memberi rasuah kepada mereka.

"Mereka juga enggan memberikan saya akses kepada rawatan perubatan," ujarnya lagi.

Selepas menyaksikan video yang tular itu, Menteri Hak Asasi Manusia Shireen Mazari berkata menerusi catatan Twitternya bahawa beliau sudahpun mengarahkan agar Mian Faisal dan pekerjanya, Rashid Ali, diberkas.

Menurut laporan Daily Mail, mereka diserahkan kepada polis pada Khamis (28 Mac) bagi direman selama empat hari.

Jurucakap polis Punjab, Nabila Ghazanfar, memberitahu ARY News bahawa satu siasatan peringkat tinggi sudahpun dilancarkan bagi menyiasat insiden berkenaan, dengan mangsa diletakkan di bawah perlindungan polis.

Hasil pemeriksaan perubatan Asma menunjukkan bahawa wanita itu mengalami kecederaan pada bahagian tangan kirinya, luka dan lebam di kedua-dua pipinya, serta luka di tangannya.

Selain itu, mata kirinya juga kelihatan merah dan berair. Beliau juga mengalami pening kepala dan muntah-muntah.

Dalam satu catatan Twitter pada Khamis (28 Mac), Amnesty International Asia Selatan menyatakan bahawa meskipun ia "gembira bahawa tindakan yang tegas dan pantas diambil terhadap para penyerang Asma Aziz, namun kami menarik perhatian kepada jumlah kes keganasan terhadap wanita yang kian meningkat."

Akhbar Gulf News, yang menukil data Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan, melaporkan bahawa lebih 2,500 kes keganasan terhadap wanita difailkan di Pakistan pada tahun lalu. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita