Skip to main content

Dunia

Gara-gara diskaun Nutella, pasar raya Perancis jadi huru-hara

Anda tidak mungkin dapat membeli kebahagiaan tetapi anda boleh membeli sebotol Nutella. Namun apabila sebuah pasar raya di Perancis menawarkan potongan harga sebanyak 70 peratus bagi Nutella, para pembeli seolah-olah hilang pertimbangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Gara-gara diskaun Nutella, pasar raya Perancis jadi huru-hara

(Gambar: @NutellaGlobal/ Twitter).

Diterbitkan : 28 Jan 2018 12:12AM Dikemas Kini : 28 Jan 2018 12:14AM

PERANCIS: Anda tidak mungkin dapat membeli kebahagiaan tetapi anda boleh membeli sebotol Nutella. Namun apabila sebuah pasar raya di Perancis menawarkan potongan harga sebanyak 70 peratus bagi Nutella, para pembeli seolah-olah hilang pertimbangan.

Keadaan huru-hara dilaporkan di beberapa cawangan Intermarche sehingga para pelanggan sanggup bergaduh semata-mata untuk merebut tawaran itu. Beberapa video yang dimuat naik menunjukkan bagaimana para pelanggan berebut-rebut untuk mendapatkan Nutella.

"Memang dahsyat, 200 orang beratur di luar pasar raya sebelum ia dibuka," kata seorang pekerja sebuah cawangan di Metz, timur laut Perancis kepada CNN. "Ini semua semata-mata untuk sebotol Nutella."

"Orang ramai masuk, berasak-asak dan menolak satu sama yang lain dan memecahkan barang," kata seorang lagi kakitangan di Forbach, timur laut Perancis. "Kami hampir-hampir menghubungi pihak polis."

Seorang pekerja di sebuah cawangan di Otstricout terpaksa menghubungi polis apabila keadaan bertambah buruk.

Harga biasa Nutella di Intermarche adalah €4.50 (S$7.31) tetapi dengan potongan harga, ia dijual pada harga €1.41 (S$2.30) sebotol.

Intermarche sudah meminta maaf kepada para pelanggannya, dan menyatakan bahawa pihaknya "terkejut" dengan permintaan itu.

Ini bukan kali pertama permintaan Nutella bertukar menjadi ganas. Pada bulan September 2015, seorang pembeli berusia 78 tahun di California ditumbuk di mukanya selepas mengadu pembeli lain mengambil terlalu banyak sampel wafel Nutella.

Pengilang Nutella, Ferrero Brands, menyatakan bahawa keputusan untuk menawarkan potongan harga dibuat oleh Intermarche sendiri.

Polis Otstricourt memberitahu CNN bahawa apabila pasukannya tiba, keadaan sudah kembali tenang dan tiada penangkapan dibuat.  

Sumber : Agensi berita/FA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita