Gara-gara dicabar, lelaki ini terjun dari bumbung pasar raya
Seorang pemuda yang dikenal pasti sebagai TSR maut setelah dia terjun dari bumbung sebuah pasar raya di Bandarlampung, Lampung, pada Jumaat (22 Feb), sekitar 4.00 petang.
Gambar hiasan. (Gambar: AFP)
LAMPUNG: Seorang pemuda yang dikenal pasti sebagai TSR maut setelah dia terjun dari bumbung sebuah pasar raya di Bandarlampung, Lampung, pada Jumaat (22 Feb), sekitar 4.00 petang.
TSR, 21 tahun, adalah seorang penduduk di daerah Lampung Selatan dan beliau juga seorang mahasiswa di universiti daerah tersebut.
Rakaman video yang menunjukkan insiden tragik itu tular di media sosial, di mana beberapa orang kelihatan cuba mencabarnya supaya terjun dari bahagian bumbung.
Sebelum terjun dari bangunan itu, perbuatan TSR dirakam oleh seorang individu yang dari keretanya sedang tertawa dan berteriak: "Terjun! Terjun!".
Cik Heni, yang menyaksikan insiden itu memberitahu kompas.com bahawa beliau cuba meminta pertolongan daripada seorang pengawal keselamatan di pasar raya itu sambil meminta para pekerjanya supaya meletakkan tilam di bawah dengan harapan tindakan itu dapat mencegahnya daripada membahayakan dirinya.
Mereka bagaimanapun tidak mahu mengambil sebarang tindakan.
"Saya ternampak seorang lelaki yang berpakaian serba hitam mendekatinya dan saya fikir beliau akan memujuknya supaya jangan terjun. Sebaliknya, beliau sekadar mahu memetik gambar lelaki itu," katanya lagi.
Menurut Cik Heni, setelah mangsa terjun, orang ramai setakat menutup mayatnya dengan kadbod.
Polis tempatan sedang menyiasat motif sebenar TSR di sebalik aksi nekad itu.
Cik Heni turut tertanya-tanya mengapa ramai orang yang menyaksikan insiden itu tidak menunjukkan sebarang rasa simpati sama sekali.
"Mereka hanya sibuk merakam dan memuat naik video ke media sosial," menurutnya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.