Gara-gara buang air kecil di tempat salah, bapa di China ini juntai anaknya terbalik di luar tingkap rumah
Tangkapan skrin daripada Douyin
BEIJING: Bapa seorang budak perempuan di China menjuntai anaknya terbalik di luar tingkap rumah mereka sebagai hukuman kerana membuang air kecil di tempat yang salah, lapor portal berita South China Morning Post pada Khamis (20 Jul).
Lelaki yang identitinya tidak dikenali dan berasal dari wilayah Liaoning, timur laut China itu dikecam orang ramai selepas video perbuatannya menjadi tular.
Berdasarkan rakaman, lelaki itu memegang buku lali anak perempuannya dalam keadaan tergantung di luar tingkap flat mereka.
Budak perempuan itu dipercayai berusia dalam lingkungan dua hingga tiga tahun. Mangsa menangis meminta tolong dan menjerit perkataan ‘ayah, ayah’.
Tanpa menghiraukan jeritannya, lelaki itu terus menggantungnya di udara dan memberi amaran kepadanya supaya tidak mengeluarkan bunyi.
“Mengapa kamu tidak membuang air kecil di dalam bilik air? Kamu lebih suka membuang air kecil dalam bilik kan?” katanya.
Menurut jiran mereka, kejadian itu berlaku selama dua hingga tiga minit dan berakhir apabila anaknya berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya.
Kejadian itu tular di media sosial dan orang ramai meluahkan rasa simpati mereka terhadap budak perempuan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.