AS gantung bantuan AS$700 juta ke Sudan susuli rampasan kuasa tentera
Amerika Syarikat pada Isnin (25 Okt) menggantung bantuan AS$700 juta (S$943 juta) kepada Sudan selepas tentera merampas kuasa dan menggesa pemulihan segera pemerintah awam.
(Gambar: AFP)
WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Isnin (25 Okt) menggantung bantuan AS$700 juta (S$943 juta) kepada Sudan selepas tentera merampas kuasa dan menggesa pemulihan segera pemerintah awam.
"Pemerintah awam perlu segera dipulihkan dan mewakili kehendak rakyat," kata jurucakap Jabatan Negara Ned Price kepada para wartawan.
"Berdasarkan perkembangan ini, Amerika Syarikat menghentikan sementara bantuan," kata Encik Price.
Beliau berkata penggantungan itu melibatkan pakej AS$700 juta (S$943 juta) dalam sokongan ekonomi bertujuan untuk membantu peralihan demokrasi Sudan menyusuli penyingkiran seorang diktator dua tahun lalu.
"Kami menggantung sementara jumlah penuh itu," kata Encik Price.
"Kami bersatu dengan rakyat Sudan. Rakyat Sudan sudah menyatakan dengan jelas aspirasi mereka untuk meneruskan peralihan ke arah demokrasi dan kami akan terus menyokongnya termasuk, jika perlu, dengan mempertanggungjawabkan mereka yang bertanggungjawab terhadap tindakan antidemokrasi ini."
Beliau juga memberi amaran kepada pihak tentera agar "menahan daripada sebarang keganasan terhadap penunjuk perasaan", selepas tiga orang terbunuh dalam tindakan tegas terhadap penunjuk perasaan yang membantah rampasan kuasa itu.
Jeneral tertinggi Sudan, Abdel Fattah al-Burhan, dalam ucapan yang disiarkan di televisyen berkata bahawa angkatan tentera menangkap pemimpin pemerintah yang menerajui peralihan sepenuhnya ke pemerintahan awam.
Aturan hibrid kepimpinan itu ditubuhkan ekoran penyingkiran diktator lama Omar al-Bashir pada April 2019 setelah tunjuk perasaan meluas yang diketuai oleh golongan belia.
Jeffrey Feltman, utusan khas Amerika Syarikat bagi Horn of Africa (kawasan paling timur benua Afrika), melawat Sudan sebelum berlakunya campur tangan tentera.
Encik Price berkata Encik Feltman tidak mempunyai pengetahuan sebelum ini tentang niat tentera, jika tidak beliau pasti akan memberi amaran terhadap langkah itu.
Beliau juga berkata bahawa Amerika Syarikat tidak dapat menghubungi Perdana Menteri Abdalla Hamdok, yang dibawa pergi bersama isterinya darpada rumah mereka.
Senator Chris Coons, sekutu rapat Presiden Joe Biden dan yang mengetuai panel Senat yang bertanggungjawab ke atas bantuan asing, juga memberi amaran bahawa Washington tidak akan meluluskan penyaluran dana kepada rejim tentera.
Bantuan Amerika Syarikat "akan berakhir jika kuasa PM Hamdok dan pemerintah peralihan penuh tidak dipulihkan," tulisnya di Twitter.
Di bawah undang-undang Amerika Syarikat, negara itu wajib menghentikan kebanyakan bantuan ke negara-negara di mana pihak tentera menggulingkan pemerintah awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.