Skip to main content

Dunia

Gangguan sistem pagar automatik pelawat asing punca pintu masuk Malaysia sesak

Anggaran Waktu Membaca:
Gangguan sistem pagar automatik pelawat asing punca pintu masuk Malaysia sesak

Barisan panjang dilihat di pusat laluan darat di Johor susuli gangguan sistem pagar automatik pada Jumaat yang hanya menjejas pasport asing. (Gambar: Facebook/Sarena Yong)

Diterbitkan : 19 Jul 2025 07:16PM Dikemas Kini : 19 Jul 2025 07:18PM
PUTRAJAYA: Isu gangguan sistem pagar automatik (autogate) untuk pelawat asing di pintu-pintu masuk utama Malaysia sejak Jumaat (18 Jul) berpunca daripada gangguan integrasi data yang menyebabkan proses semakan silang dalam sistem MyIMMS menjadi perlahan.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memaklumkan bahawa gangguan pada sistem pagar automatik yang digunakan oleh pelawat asing tidak dapat berfungsi buat masa ini.

AKPS dalam kenyataan di Putrajaya pada Sabtu (19 Jul) memaklumkan bahawa gangguan itu menyebabkan kesesakan dan barisan menunggu yang panjang di beberapa lokasi utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.

“AKPS ingin menegaskan sistem pagar automatik bagi pemegang pasport Malaysia tidak terjejas dan masih berfungsi seperti biasa,” menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan langkah-langkah segera sudah diambil bersama Jabatan Imigresen Malaysia untuk mengenal pasti punca sebenar masalah dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.

“Semua kaunter manual telahpun diaktifkan sepenuhnya dan anggota tambahan dikerahkan untuk menguruskan aliran keluar masuk pelawat serta mengawal barisan menunggu dengan kapasiti terbaik,” menurut kenyataan itu lagi.

AKPS memaklumkan pihaknya sedang giat memulihkan sistem dan melancarkan semula pergerakan di semua pintu masuk Malaysia.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita