Skip to main content

Dunia

Gangguan perkhidmatan ETS, KTM Komuter akibat alat talian atas putus

Perkhidmatan tren KTM Komuter dan tren elektrik (ETS) mengalami gangguan pada Ahad (30 Nov) susulan kejadian alat talian atas terputus di antara Salak Selatan dan Serdang pada pukul 7.23 pagi, menurut Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Anggaran Waktu Membaca:
Gangguan perkhidmatan ETS, KTM Komuter akibat alat talian atas putus
Perkhidmatan tren KTM Komuter dan tren elektrik (ETS) mengalami gangguan pada 30 November 2025. (Gambar: Bernama)
Diterbitkan : 30 Nov 2025 05:01PM
  • Perkhidmatan tren KTM Komuter dan tren elektrik (ETS) mengalami gangguan pada Ahad (30 Nov) susulan kejadian alat talian atas terputus di antara Salak Selatan dan Serdang pada pukul 7.23 pagi, menurut Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
  • "Laluan antara Kajang-KL Sentral tidak dapat dilalui ketika ini dan penumpang disaran menggunakan pengangkutan alternatif sementara kerja baik pulih sedang dilaksanakan," menurut kenyataan itu.
  • Perkhidmatan ETS turut terjejas apabila tren EP9511 (KL Sentral-Kluang) mengalami kelewatan melebihi 120 minit sebelum ditarik lokomotif bantuan dari Salak Selatan ke Stesen Kajang pada pukul 9.40 pagi pada Ahad bagi pemindahan penumpang dan keselamatan operasi.
  • "Penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat kelewatan melebihi dua jam boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh melalui aplikasi KITS atau di kaunter tiket KTMB," menurut kenyataan itu.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren KTM Komuter dan tren elektrik (ETS) mengalami gangguan pada Ahad (30 Nov) susulan kejadian alat talian atas terputus di antara Salak Selatan dan Serdang pada pukul 7.23 pagi, menurut Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Menurut kenyataan KTMB pada Ahad, laluan berkenaan tidak dapat digunakan buat sementara waktu, menyebabkan operasi tren terganggu kerana hanya satu landasan sahaja di sektor itu digunakan ketika ini berikutan kerja naik taraf landasan (KVDT) yang masih berjalan.

Berikutan itu, tren KTM Komuter dari arah Pulau Sebang/Sungai Gadut menuju Batu Caves ditamatkan di Stesen Kajang sebelum berpatah balik ke Pulau Sebang, manakala tren dari Batu Caves ke arah selatan hanya beroperasi ulang alik hingga Stesen KL Sentral sahaja.

"Laluan antara Kajang-KL Sentral tidak dapat dilalui ketika ini dan penumpang disaran menggunakan pengangkutan alternatif sementara kerja baik pulih sedang dilaksanakan," menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan ETS turut terjejas apabila tren EP9511 (KL Sentral-Kluang) mengalami kelewatan melebihi 120 minit sebelum ditarik lokomotif bantuan dari Salak Selatan ke Stesen Kajang pada pukul 9.40 pagi pada Ahad bagi pemindahan penumpang dan keselamatan operasi.

Menurut KTMB, perkhidmatan ETS EG9420 (Segamat-Padang Besar) turut ditarik dari Kajang ke Bandar Tasik Selatan dan seterusnya ke Salak Selatan sebelum perjalanan diteruskan, manakala ETS EP9510 (Kluang-KL Sentral) ditamatkan di Stesen Kajang dan penumpang dinasihatkan menggunakan pengangkutan alternatif.

"Penumpang tren ini boleh memohon pemulangan perbezaan tambang ETS mengikut terma dan syarat yang sedia ada," menurut kenyataan itu.

Tren ETS EG9321 (Butterworth-Segamat) akan turut ditarik menggunakan lokomotif bantuan dari Salak Selatan ke Stesen Kajang sebagai sebahagian daripada pelan pengalihan tren di sektor terjejas.

"Penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat kelewatan melebihi dua jam boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh melalui aplikasi KITS atau di kaunter tiket KTMB," menurut kenyataan itu.

Para penumpang yang terkesan sudah dimaklumkan mengenai kelewatan berkenaan melalui SMS sebagai langkah pemberitahuan awal dan turut memohon maaf atas kesulitan dialami serta menghargai kesabaran penumpang sepanjang tempoh gangguan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita