Gangguan lapangan terbang Manila: Hampir 270 penerbangan dibatalkan
(Gambar: Facebook/Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA)
MANILA: Hampir 270 penerbangan masuk dan keluar dari Manila dibatalkan pada Ahad (1 Jan).
Ini berikutan isu teknikal dan gangguan bekalan elektrik yang dilaporkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA).
Para penumpang mula berdepan dengan masalah pada awal Tahun Baru dengan pihak berkuasa lapangan terbang berkenaan memaklumkan dalam hantaran Facebook pada pukul 12.15 pagi bahawa beberapa jadual penerbangan mungkin akan diubah "pada bila-bila masa".
Dalam kenyataan seterusnya, Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Manila (MIAA) menyatakan penerbangan daripada ibu kota Manila ditangguhkan akibat isu teknikal yang melibatkan sistem pengurusan trafik udara.
Ini menyebabkan pihak berkuasa penerbangan Filipina menghentikan semua penerbangan dan melaksanakan langkah protokol untuk menangani situasi berkenaan dan membenarkan penerbangan disambung semula secepat mungkin.
Dalam kemas kini pada pukul 4.00 petang masa tempatan, pihak berkuasa lapangan terbang menyatakan "sebahagian sistem sudah dibaik pulih" dan beberapa penerbangan boleh beroperasi.
"Gangguan yang menjejaskan seluruh Filipina adalah keadaan yang masih dipantau setakat pukul 4.00 petang. Sebanyak 282 penerbangan sama ada ditangguhkan, dibatalkan atau dialihkan ke lapangan terbang serantau lain dan menjejaskan sekitar 56,000 penumpang di NAIA," menurut pihak berkuasa.
PENANGGUHAN, PEMBATALAN
Syarikat penerbangan Filipina, Cebu Pacific sebelum ini menyatakan bekalan elektrik terputus di Pusat Pengurusan Trafik Udara Filipina.
Dalam satu makluman, syarikat penerbangan tambang rendah itu menyatakan ia menawarkan "pilihan fleksibel" buat penumpang penerbangan yang dijadualkan antara Ahad (1 Jan) dan 0400 GMT (12 tengah hari waktu tempatan) pada 2 Januari.
Ini termasuk tempahan semula percuma dan menukar tiket kepada baucar perjalanan untuk kegunaan masa hadapan.
Philippine Airlines memaklumkan bahawa beberapa penerbangan dialihkan, dibatalkan dan ditangguhkan. Ia menasihatkan pelancong agar menyemak status perjalanan mereka sebelum meneruskan perjalanan ke lapangan terbang berkenaan.
Memberi butiran mengenai penerbangan yang terjejas, pihak berkuasa lapangan terbang itu menyatakan sebanyak 268 penerbangan dibatalkan setakat pukul 4.00 petang waktu tempatan.
Pihak berkuasa lapangan terbang Filipina mengagihkan makanan dan minuman kepada para penumpang yang terjejas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.