Skip to main content

Dunia

Gangguan air Johor: Bekalan pulih bagi sebahagian penduduk; pembaikan pam separuh siap

Bekalan air mula dipulihkan secara berperingkat pada Khamis pagi (22 Mei) bagi satu daripada setiap empat isi rumah yang terjejas dalam kalangan 155,000 kediaman di Johor, menurut pegawai negeri tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Gangguan air Johor: Bekalan pulih bagi sebahagian penduduk; pembaikan pam separuh siap

Encik Saim Husin, 73 tahun, mengambil wuduk menggunakan bekas air sebelum menunaikan solat di Masjid Al Hidayah, Taman Perling, Johor Bahru, pada 22 Mei 2025. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

JOHOR BAHRU: Bekalan air mula dipulihkan secara berperingkat pada Khamis pagi (22 Mei) bagi satu daripada setiap empat isi rumah yang terjejas dalam kalangan 155,000 kediaman di Johor, menurut pegawai negeri tersebut.

Namun, memandangkan kerja-kerja pembaikan pam yang rosak di loji rawatan air Sungai Johor masih di peringkat separuh siap, pihak berkuasa mengerahkan lori tangki air serta mengedarkan air mineral ke kawasan yang masih mengalami gangguan.

Setakat pukul 10.00 pagi pada Khamis, bekalan air bagi 27 peratus daripada isi rumah di kawasan yang terjejas "telah dipulihkan secara beransur-ansur", menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Fazli Salleh, dalam satu catatan di Facebook.

Sebahagian daripada bekalan air di kawasan yang terjejas telah dipulihkan. Ini termasuk di Tebrau (98 peratus), Kempas (66 peratus) dan Ulu Tiram (40 peratus), menurut beliau.

Namun, bekalan masih belum dipulihkan di kawasan lain yang turut terjejas, termasuk pusat bandar, Skudai, Iskandar Puteri dan Bukit Indah.

Di Taman Perling, Bukit Indah, Encik Saim Husin, 73 tahun, memberitahu Mediacorp bahawa keluarganya terpaksa membuat perjalanan sejauh dua kilometer bagi mendapatkan air untuk mandi, mencuci dan mengambil ubat-ubatan.

Katanya, gangguan bekalan air itu menjejas kehidupan keluarganya dengan “teruk”.

Seorang lagi penduduk, Encik Syukri Seperi, 29 tahun, berkata beliau dan jirannya risau kerana belum menerima sebarang makluman sama ada lori tangki air akan dihantar ke kawasan mereka.
Encik Syukri Seperi tidak dapat menjalankan perniagaan cuci keretanya akibat gangguan bekalan air. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
Gangguan bekalan air itu juga menyebabkan perniagaan cuci keretanya terpaksa dihentikan selama dua hari, tetapi beliau tetap perlu untuk membayar gaji pekerjanya.

“Kami perlu bersedia sekiranya tiada air untuk beberapa hari akan datang. Kami belum mandi sejak gangguan berlaku,” kata Encik Syukri.

Gangguan bekalan air itu berpunca daripada hujan lebat pada Selasa yang menenggelamkan dan merosakkan enam pam air mentah di loji Sungai Johor.

Pam-pam tersebut dijadualkan siap dibaiki "sepenuhnya" pada Rabu, “namun ia masih bermasalah”, kata Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, semasa sesi persidangan negeri di Kota Iskandar pada Khamis, seperti dilaporkan The Star.

Encik Onn Hafiz mengadakan mesyuarat tergempar bersama pengendali air negeri, Ranhill SAJ, pada pagi Khamis bagi menangani gangguan yang tidak dirancang itu dan memastikan agar kerja pembaikan pam di loji rawatan air disegerakan.

Beliau turut mengarahkan daerah-daerah lain untuk membantu dengan menghantarkan lori tangki air dan air mineral ke kawasan terjejas.

“Sementara menunggu pemulihan penuh bekalan air, sebanyak 39 lokasi telah dibekalkan air melalui lori tangki secara berperingkat, manakala 12 lori tangki masih ditempatkan di hospital,” kata Encik Fazli, yang mengesahkan bahawa 155,070 akaun pengguna terkesan akibat gangguan tersebut.

“Kami amat kesal atas segala kesulitan yang berlaku dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pengguna sepanjang tempoh ini,” tambahnya.

Terdahulu, beliau menyatakan bahawa gangguan itu melibatkan bekalan sebanyak 318 juta liter air sehari.

Dalam satu catatan Facebook, Ranhill SAJ memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan pam yang rosak telah mencapai “kadar 50 peratus” setakat pagi Khamis.

Ramai penduduk menyuarakan tuntutan agar pihak berkuasa lebih telus mengenai tempoh gangguan tersebut dijangka berlarutan.

“Berikan kami anggaran masa pemulihan sepenuhnya. Sebagai pakar dalam bidang ini, sudah tentu tidak sukar untuk memberikan satu jangkaan,” kata Encik Nik Asni Azwan di laman Facebook Ranhill SAJ pada Khamis.

“Anda sekurang-kurangnya patut memaklumkan anggaran masa atau berapa hari lagi diperlukan, dan kawasan mana yang akan menerima bekalan air dahulu. Ini penting agar orang ramai boleh merancang langkah seterusnya,” kata Cik Jolin Tan, juga di Facebook.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita