Skip to main content

Dunia

Gambar tular di Facebook dakwa kucing dianiaya, dibunuh untuk dijadikan pakaian di China

Satu catatan Facebook yang mendakwa kucing-kucing di China diseksa dan dibunuh untuk mendapatkan daging dan bulunya, menjadi tular dan sudah dikongsi lebih 140,000 kali sejak dimuat naik pada Ahad (1 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Gambar tular di Facebook dakwa kucing dianiaya, dibunuh untuk dijadikan pakaian di China

(Gambar: Facebook/Anti Fur Society)

Diterbitkan : 06 Dec 2019 10:36AM Dikemas Kini : 06 Dec 2019 10:41AM

SINGAPURA: Satu catatan Facebook yang mendakwa kucing-kucing di China diseksa dan dibunuh untuk mendapatkan daging dan bulunya, menjadi tular dan sudah dikongsi lebih 140,000 kali sejak dimuat naik pada Ahad (1 Dis).

Catatan oleh kumpulan Anti-Fur Society menarik perhatian kepada amalan di mana kucing - kebanyakannya kucing terbiar, namun kadangkala termasuk haiwan peliharaan - disambar dari tepi jalan oleh anggota samseng dan dijual kepada penjual daging.

Menurut dakwaan Anti-Fur Society, kucing-kucing itu akan direbus hidup-hidup "untuk memelihara mutu kulitnya” yang kemudian akan dijadikan kasut, sarung tangan, tas tangan dan aksesori yang lain.

Catatan tersebut turut melampirkan gambar-gambar menggerunkan yang menunjukkan kulit bulu kucing dijemur, daging kucing digantung pada cangkuk daging untuk dijual dan bulu kucing dijual di kedai-kedai aksesori.

Dalam catatan itu, Anti-Fur Society menggesa orang ramai supaya menghulurkan derma terhadap usahanya mengumpul dana untuk mengembiri kucing agar dapat "menghentikan bekalan percuma kucing".

China banyak mendapat perhatian media atas tuduhan menganiaya haiwan di negara itu. Pesta daging anjing di bandar Yulin adalah antara yang paling menarik perhatian umum.

Acara tahunan selama sepuluh hari itu menarik perhatian para aktivis hak haiwan yang datang ke bandar itu setiap tahun untuk memberi tekanan kepada pihak penganjur supaya menghentikan amalan tersebut.

Menurut agensi berita Reuters, para aktivis sejak beberapa tahun kebelakangan ini dilaporkan menyerbu rumah sembelih dan memintas lori-lori membawa anjing untuk mengurangkan jumlah haiwan yang dibunuh.

Menurut Reuters, daging anjing dianggap sebagai makanan tradisi di beberapa kawasan di selatan China di mana ia dipercayai mujarab untuk tubuh semasa cuaca panas.

Namun kumpulan perlindungan kebajikan haiwan Humane Society International sebelum ini menyatakan pesta itu "direka" oleh para peniaga daging anjing dan daging anjing sebenarnya bukan sebahagian daripada budaya makanan China secara amnya.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita