Gambar tular anjing menyerupai harimau bukan foto milik Bernama
Gambar: Sumber Web
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini (2 Feb) menyangkal mengeluarkan gambar tular di media sosial yang menunjukkan seekor anjing diwarnakan dengan belang menyerupai seekor harimau.
Ketua Pengarang Bernama, Khairdzir Md Yunus dalam kenyataannya memaklumkan bahawa semakan mendapati ia merupakan gambar lama yang tersebar pada 2020 dan pernah dikitar semula.
"Bernama tidak pernah mengeluarkan gambar tersebut dan kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertangungjawab memalsukan fakta kononnya gambar itu dikeluarkan oleh Bernama," kata beliau.
Gambar yang dimuat naik ke laman Facebook itu turut disertakan dengan kapsyen dalam Bahasa Inggeris iaitu "Polis di Bahau Negeri Sembilan sedang mengesan seorang pemuda tempatan yang telah mewarnakan anjingnya seperti seekor harimau belang dan membiarkannya berkeliaran sehingga menakutkan beberapa orang mabuk yang lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri - Bernama."
Setakat pukul 7.00 malam ini (2 Feb), hantaran itu mendapat reaksi 40 individu dan sudah dikongsi oleh enam pemilik akaun laman sosial berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.