Skip to main content

Dunia

Gambar mayat ‘petani kulit putih’ dikongsi Trump dirakam di Congo, bukan Afrika Selatan

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menunjukkan satu petikan skrin daripada video Reuters yang dirakam di Republik Demokratik Congo (DRC), yang secara palsu didakwanya pada Rabu (21 Mei) sebagai bukti pembunuhan besar-besaran terhadap rakyat Afrika Selatan kulit putih.

Anggaran Waktu Membaca:
Gambar mayat ‘petani kulit putih’ dikongsi Trump dirakam di Congo, bukan Afrika Selatan

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menunjukkan salinan artikel yang didakwanya berkenaan rakyat Afrika Selatan kulit putih yang telah dibunuh, di Pejabat Oval, Rumah Putih, Washington, DC, pada 21 Mei 2025. (Gambar: REUTERS/Kevin Lamarque)

JOHANNESBURG: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menunjukkan satu petikan skrin daripada video Reuters yang dirakam di Republik Demokratik Congo (DRC), yang secara palsu didakwanya pada Rabu (21 Mei) sebagai bukti pembunuhan besar-besaran terhadap rakyat Afrika Selatan kulit putih.

“Ini semua petani kulit putih yang sedang dikebumikan,” kata Encik Trump sambil memegang cetakan rencana yang disertakan dengan gambar tersebut dalam satu mesyuarat yang tegang di Pejabat Bundar bersama Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.

Namun begitu, video berkenaan yang diterbitkan Reuters pada 3 Februari dan kemudiannya disahkan oleh pasukan semakan fakta agensi berita itu, sebenarnya menunjukkan pekerja kemanusiaan mengangkat beg mayat di bandar Goma, Congo. Gambar tersebut diambil daripada rakaman Reuters berikutan pertempuran maut dengan pemberontak M23 yang disokong Rwanda.

Catatan blog yang ditunjukkan Encik Trump kepada Encik Ramaphosa semasa pertemuan di Rumah Putih itu pula diterbitkan American Thinker, sebuah majalah online konservatif, yang membincangkan konflik serta ketegangan kaum di Afrika Selatan dan Congo.

Catatan tersebut tidak menyertakan kapsyen bagi gambar berkenaan tetapi mengenal pastinya sebagai "petikan layar YouTube" dengan pautan kepada laporan berita berbentuk video tentang Congo di YouTube, yang memberi kredit kepada Reuters.

Rumah Putih tidak memberikan sebarang maklum balas kepada permintaan komen. Cik Andrea Widburg, editor pengurusan di American Thinker dan penulis catatan tersebut, menjawab pertanyaan Reuters dengan menyatakan bahawa Presiden Trump “salah dalam mengenalpastikan gambar itu”.

Namun, beliau menambah bahawa catatan itu, yang merujuk kepada pemerintahan Encik Ramaphosa sebagai “pemerintah Marxis yang tidak berfungsi dan taksub terhadap isu perkauman”, turut “menunjukkan tekanan yang semakin meningkat ke atas rakyat Afrika Selatan kulit putih”.

Rakaman asal gambar berkenaan menunjukkan pengebumian besar-besaran menyusuli serangan kumpulan M23 di Goma, dirakam oleh juruvideo Reuters, Djaffar Al Katanty.

“Pada hari itu, sangat sukar bagi wartawan untuk masuk ... Saya terpaksa berunding secara langsung dengan M23 dan berkoordinasi dengan ICRC suapaya dibenarkan untuk merakam,” kata Encik Al Katanty. “Hanya Reuters yang mempunyai video itu.”

Encik Al Katanty berkata beliau terkejut apabila melihat Encik Trump memegang artikel yang bersertakan petikan layar daripada videonya.

“Di hadapan seluruh dunia, Presiden Trump menggunakan gambar saya, menggunakan apa yang saya rakam di DRC untuk cuba meyakinkan Presiden Ramaphosa bahawa di negaranya, orang kulit putih sedang dibunuh oleh mereka yang kulit hitam,” kata Encik Al Katanty.

Encik Ramaphosa melawat Washington minggu ini dalam usaha bagi memulihkan hubungan dengan Amerika Syarikat berikutan kritikan berterusan daripada Encik Trump sejak beberapa bulan lalu terhadap undang-undang Afrika Selatan, dasar luar negaranya, dan dakwaan berkaitan layanan buruk terhadap golongan minoriti kulit putih, perkara yang dinafikan Afrika Selatan.

Encik Trump menghentikan mesyuarat yang disiarkan secara langsung bersama Ramaphosa untuk menayangkan satu video, yang didakwanya menunjukkan bukti pembunuhan beramai-ramai terhadap petani kulit putih di Afrika Selatan. Teori konspirasi itu, yang telah lama tersebar dalam forum sayap kanan ekstrem, terbentuk berdasarkan dakwaan palsu.

Encik Trump kemudian menyelak salinan artikel yang dicetak dan menurutnya memperincikan pembunuhan rakyat Afrika Selatan kulit putih, sambil berkata “kematian, kematian, kematian, kematian yang dahsyat.”
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita