Gambar main golf di S'pura tersebar; Najib tempelak 'takkan bersama cucu 24 jam?'
Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak membidas pengkritik yang mempersoalkan keberadaannya semasa beliau melawat Singapura baru-baru ini.

Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, bersama cucu mereka. (Gambar: Yana Najib/Facebook)
KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak membidas pengkritik yang mempersoalkan keberadaannya semasa beliau melawat Singapura baru-baru ini.
Najib ke Singapura setelah mendapat kembali pasportnya buat sementara waktu untuk melawat anak perempuan beliau, Nooryana Najwa, yang melahirkan anak kedua di sana. Sehubungan kritikan yang diterimanya, Najib bertanya jika beliau disangka perlu menghabiskan masa 24 jam sehari bersama cucunya itu.
Ini selepas gambar Najib bergambar di sebelah kereta mewah Rolls Royce dan bermain golf di Singapura tersebar di media sosial, lapor Malaysiakini.
Najib berkata Rolls Royce itu milik seorang hartawan Singapura, Sam Goi Seng Hui, yang telah berbincang mengenai pelaburan bersamanya. Encik Goi turut dilihat dalam gambar-gambar itu.
"Ini pun jadi isu? Tak kan saya bersama cucu 24 jam setiap hari selama tempoh 6 hari saya berada di Singapura," kata Najib dalam satu catatan di Facebook.
Najib berkata Encik Goi merupakan pemilik Sutera Harbour Resort di Sabah dan peminat dasar ekonomi Malaysia semasa beliau menjadi perdana menteri dari 2009 hingga 2018.
"Encik Sam kata dia adalah peminat dasar-dasar ekonomi dan pembangunan saya semasa saya PM dan minta untuk diperkenalkan dengan saya.
"Masa kita bertemu, dia banyak meminta pandangan saya tentang hala tuju pembangunan dan ekonomi negara sebab dia ingin lebih melabur di Malaysia.
"Adakah ia salah bagi saya untuk gunakan masa peribadi saya untuk beri pandangan saya kepada pelabur asing yang ingin melabur ke Malaysia biarpun saya bukan PM lagi dan bukan Menteri," soalnya seperti ditukil Malaysiakini.
Pada Julai 2020, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (S$68 juta) atas penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.
Sementara menunggu rayuan, pasport Najib dikembalikan kepadanya sehingga 6 Disember bagi membolehkan beliau pergi ke Singapura untuk bersama anak perempuannya itu, yang baru sahaja melahirkan seorang bayi perempuan.
Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan Najib pada 8 Disember sejurus selepas Najib pulang dari Singapura.
Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.