Gaji kakitangan awam di Malaysia naik lebih 13% mulai Disember ini
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim hari ini (1 Mei) mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, iaitu yang tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara itu.
(Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)
PM Anwar berkata kenaikan itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion (S$2.8 bilion).
“Kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus. Kenaikan terbaik dalam sejarah oleh Kerajaan MADANI,” katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan hari ini.
Encik Anwar yang juga Menteri Kewangan Malaysia berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 (S$572) sebulan.
“Pada masa ini jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam sedia ada adalah RM1,795 (S$513) sebulan,” katanya.
Encik Anwar berkata sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus kira-kira 12 tahun lepas, namun Kerajaan MADANI akan memastikan jumlahnya lebih tinggi daripada itu.
“Maka kita akan laksanakan lebih 13 peratus kenaikan mulai Disember tahun ini, sebab saya sudah berjanji,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.