Gajah pun nak ke sekolah; ceroboh pagar elektrik masuk pekarangan
Seekor gajah betina berusia antara 30 hingga 35 tahun menceroboh masuk ke kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Kemar di Gerik, Perak pada Selasa (19 Jan).
Gajah di Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Kemar di Gerik (Gambar: Info Bencana Pahang dan Luar Pahang/Facebook)
GERIK, Perak: Seekor gajah betina berusia antara 30 hingga 35 tahun menceroboh masuk ke kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Kemar di Gerik, Perak pada Selasa (19 Jan).
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata gajah liar itu merosakkan pagar elektrik yang dipasang di kawasan sekolah namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
"Kakitangan Perhilitan Perak pergi ke sekolah itu dan membaiki pagar tersebut termasuk menambah arus elektrik ke tahap 9.1 voltan dan ia cukup untuk halang gajah masuk, lampu biru 'High LED' untuk takutkan gajah juga dipasang," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis (21 Jan).
Beliau mengulas satu video viral berdurasi satu minit 16 saat yang menunjukkan seekor gajah di dalam kawasan SK RPS Kemar, Gerik.
Encik Yusof berkata Perhilitan Perak sudah memasang pagar elektrik di sekeliling sekolah itu sejak November tahun lalu bagi mengelak insiden gajah liar memasuki premis tersebut.
Sehubungan itu, beliau meminta penduduk RPS Kemar untuk sama-sama menjaga pagar tersebut demi keselamatan bersama kerana pihak Perhilitan tidak berupaya menjaganya 24 jam sehari.
"Kami pasang pagar letrik tersebut kerana risau keselamatan para pelajar, anak-anak penduduk kampung dan guru sekolah. Kami harap penduduk juga dapat bersama-sama menjaga pagar eletrik itu," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.