Skip to main content

Dunia

Gajah jantan buat kacau di kampung Gerik ditangkap

Unit Tangkapan Gajah Perak (UTGP) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap seekor gajah jantan yang sering memasuki kawasan kampung serta merosakkan tanaman di Kampung Plang, Gerik, kira-kira 200 kilometer dari Ipoh.

Anggaran Waktu Membaca:
Gajah jantan buat kacau di kampung Gerik ditangkap

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 17 Oct 2020 07:43PM Dikemas Kini : 17 Oct 2020 07:46PM

IPOH: Unit Tangkapan Gajah Perak (UTGP) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap seekor gajah jantan yang sering memasuki kawasan kampung serta merosakkan tanaman di Kampung Plang, Gerik, kira-kira 200 kilometer dari Ipoh.

Perhilitan Perak dalam satu kenyataan hari ini (17 OKt) menyatakan operasi menangkap gajah seberat kira-kira dua tan itu bermula pada 5 Okt lepas sebelum mamalia tersebut ditangkap Isnin lalu dan dipindahkan ke Taman Negara Terengganu hari ini.

Menurut kenyataan itu, proses pemindahan gajah jantan berusia antara 12 dengan 14 tahun tersebut melibatkan 20 kakitangan Perhilitan Perak dengan dibantu Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Lanchang, Pahang serta dua ekor denak yang diberi nama Rambai dan Alam.

“Gajah liar ini dipercayai daripada Kumpulan Belum yang dianggarkan kira-kira 45 ekor. Siasatan mendapati gajah berkenaan terpisah daripada kumpulannya dan menjadikan Hutan Simpan Gerik sebagai kawasan berkeliaran.

“Kumpulan gajah ini merupakan gajah yang sama mengganggu kawasan Felda Bersia, Kampung Pecah Batu, Kampung Bongor, Lebuhraya Timur Barat dan kawasan sekitarnya,” tambah kenyataan Perhilitan Perak itu.

Menurut Perhilitan Perak lagi, gajah itu memasuki kawasan kampung untuk mencari makan dan menyebabkan penduduk takut untuk ke kebun. Haiwan-haiwan itu juga merosakkan tanaman seperti getah, kelapa, tebu dan durian.

Gajah terbabit merupakan gajah kedua yang ditangkap UTGP di kawasan sama selepas gajah pertama tahun lepas dan dipindahkan ke Santuari Gajah Negeri Terengganu.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita