Gajah betina mati dirempuh kenderaan dekat Kota Tinggi
Seekor gajah betina ditemui mati di tepi jalan selepas dirempuh beberapa buah kenderaan di Batu 7, Jalan Kota Tinggi-Mersing, dekat Kota Tinggi pada Khamis malam (18 Mac).

(Gambar: Agensi berita)
JOHOR BAHRU: Seekor gajah betina ditemui mati di tepi jalan selepas dirempuh beberapa buah kenderaan di Batu 7, Jalan Kota Tinggi-Mersing, dekat Kota Tinggi pada Khamis malam (18 Mac).
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Salman Saaban berkata penemuan bangkai gajah dianggarkan berumur antara 20 hingga 30 tahun itu dilaporkan oleh orang awam pada pukul 12.15 tengah malam, sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Menurut saksi, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 11.00 malam apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Kota Tinggi menghala Mersing telah melanggar gajah itu dan kemudian ia dilanggar pula oleh beberapa kenderaan lain termasuk sebuah treler,” katanya dalam kenyataan hari ini (19 Mac).
Encik Salman berkata kejadian itu turut mengakibatkan pemandu kenderaan pacuan empat roda serta penumpang treler mengalami cedera ringan, sementara kenderaan masing-masing rosak.
“Gajah tersebut merupakan sebahagian daripada ID Panti (kumpulan gajah Panti) yang dianggarkan berjumlah 30 hingga 40 ekor dan Jalan Kota Tinggi-Mersing pula merupakan kawasan panas lintasan gajah terutamanya di Batu 4 hingga Batu 14,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.