Skip to main content

Dunia

Gagal patuhi piawai, kantin hospital Johor ditutup 2 minggu

Kantin Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru ditutup dua minggu mulai Isnin (4 Feb) semalam selepas pemeriksaan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru mendapati pengusaha premis itu gagal mematuhi beberapa piawaian mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Anggaran Waktu Membaca:
Gagal patuhi piawai, kantin hospital Johor ditutup 2 minggu

Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 06 Feb 2019 11:03AM Dikemas Kini : 06 Feb 2019 11:06AM

JOHOR BAHRU: Kantin Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru ditutup dua minggu mulai Isnin (4 Feb) semalam selepas pemeriksaan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru mendapati pengusaha premis itu gagal mematuhi beberapa piawaian mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz, berkata pemeriksaan oleh PKD Johor Bahru ke atas kantin itu dilakukan menyusuli aduan gambar tular yang memaparkan seekor tikus di sebuah kantin.

"Arahan penutupan kantin (HSI) telah dikeluarkan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh dijalankan dan hanya akan dibenarkan dibuka semula apabila tahap kebersihan dapat dicapai dengan sempurna dan mematuhi syarat-syarat ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Selasa (5 Feb).

Dr Selahuddeen berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan HSI mengambil berat isu-isu berkaitan kebersihan serta keselamatan makanan, dan pengguna boleh menghubungi JKNJ atau PKD terdekat jika mempunyai aduan berkaitan kebersihan serta keselamatan makanan.

Beliau berkata JKNJ dan HSI akan sentiasa memantau dan memastikan pelaksanaan kegiatan pencegahan kerosakan serta kawalan haiwan perosak dijalankan oleh pihak konsesi dan kegiatan pembersihan juga dilakukan oleh pengusaha kantin.

"JKNJ Johor juga ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja kawalan serangga dan haiwan perosak adalah merupakan satu daripada skop kerja penyelenggaraan 'Planned Preventive Maintenance' (PPM) dalam program penswastaan Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH).

"Syarikat konsesi yang dilantik akan menjalankan kawalan tikus melalui aktiviti pemeriksaan rutin dan PPM mengikut frekuensi yang telah ditetapkan iaitu pada setiap hari dan setiap bulan dengan menggunakan pelbagai kaedah atau mekanisme seperti penggunaan umpan dan perangkap serta menutup laluan tikus dan penghapusan tempat pembiakannya," katanya.

Selain itu, beliau berkata pengendali kantin juga mesti menjaga kebersihan di kantin dan menjalankan kegiatan kawalan serangga serta haiwan perosak kerana pelaksanaan tersebut merupakan antara skop kontrak serta tanggungjawab pengendali kantin dengan pihak hospital.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita