Skip to main content

Dunia

Gadis Somalia bekas pelarian ini pecah tradisi peraduan Ratu Cantik Dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Gadis Somalia bekas pelarian ini pecah tradisi peraduan Ratu Cantik Dunia

Gambar: Agensi berita/ SinarPlus

Diterbitkan : 02 Mar 2022 10:37PM Dikemas Kini : 03 Mar 2022 08:10AM

SELANGOR: Siapa sangka, wanita kelahiran Somalia berjaya memecah tradisi dunia apabila menjadi individu berhijab pertama menyertai peraduan ratu cantik dunia Miss World.

Menurut rencana SinarPlus, penyertaan Khadija Omar, 20 tahun, yang juga merupakan seorang pelajar menjadi pemangkin semangat kepada wanita-wanita lain yang bertudung.

Memetik laporan Emirates Women, Khadija sendiri seakan berasa tidak percaya dengan pencapaian beliau itu.

"Adakah ini benar? Saya merupakan peserta Miss World yang mewakili Somalia?"

"Sesiapa di luar sana pernahkah mengetahui bagaimana perasaan saya yang bercita-cita untuk menyertai peraduan ratu cantik dan mewakili gadis berhijab di seluruh dunia?," tulis beliau di laman Instagram.

Tidak hanya memiliki penampilan dan pesona yang menarik, Khadija dilihat sentiasa berusaha untuk membantu golongan yang memerlukan.

Hal itu terbukti apabila beliau bekerja dengan pertubuhan amal dunia Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk membantu golongan pelarian yang terdedah kepada risiko banjir dan kehilangan tempat tinggal.

Secara peribadi, Khadija sendiri membesar di kem pelarian di Nairobi, Kenya.

"Saya bersyukur kerana dibesarkan dalam persekitaran yang selamat untuk tempoh masa bertahun-tahun sebelum berjaya mencapai apa yang dimiliki sekarang," katanya seperti dinukil oleh SinarPlus.

Selain bergiat aktif sebagai peragawati, wanita itu turut berkhidmat sebagai jurusolek profesional dan kini sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Psikologi di Universiti York, Kanada.

Beliau menjadikan peragawati Somalia-Amerika Syarikat, Halima Aden sebagai sumber inspirasinya.

Halima sebelum ini turut pernah menyertai peraduan ratu cantik Miss Minnesota, Amerika Syarikat pada tahun 2016.

Peraduan Miss World dijadual berlangsung di Hotel Rio Grande, Puerto Rico sekitar Mac ini, lapor SinarPlus.

Sumber : Agensi berita/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita