Gabungan parti pemerintah Jepun berpecah, gugat peluang Takaichi dilantik sebagai PM
Parti Komeito Jepun pada Jumaat (10 Okt) mengumumkan ia akan menarik diri daripada gabungannya dengan Parti Demokratik Liberal (LDP), sekali gus menimbulkan keraguan terhadap pegangan kuasa LDP sedang pemimpin baharunya, Sanae Takaichi, menunggu undian parlimen untuk mengesahkan pelantikannya sebagai perdana menteri.
Sanae Takaichi, pemimpin baharu Parti Demokratik Liberal (LDP) yang baru dipilih, pada 4 Oktober 2025. (Gambar fail: Yuichi Yamazaki/Pool Photo melalui AP)
Ketua Komeito, Tetsuo Saito, memberitahu ahli partinya bahawa kerjasama selama 26 tahun itu berakhir berikutan penjelasan yang “tidak memadai” oleh LDP mengenai cara parti tersebut menangani skandal dana politik yang menggoncang parti pemerintah itu.
Kata beliau, Komeito tidak akan menyokong Cik Takaichi dalam undian parlimen yang dijangkakan pada akhir bulan ini.
Cik Takaichi, yang dipilih LDP sebagai pemimpin baharunya pada Sabtu lalu, kini mengetuai parti yang kekurangan 37 kerusi untuk memperoleh kuasa majoriti di Dewan Rendah Parlimen. Tanpa sokongan Komeito, beliau perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya dua parti lain untuk meluluskan sebarang rang undang-undang.
LDP turut mempunyai kuasa minoriti di Dewan Tinggi Parlimen yang kurang berkuasa. Parti itu telah mentadbir Jepun untuk sebahagian besar tempoh selepas perang.
Pemilihan Cik Takaichi sebagai ketua LDP pada minggu lalu melemahkan jangkaan pasaran terhadap kenaikan kadar faedah dalam masa terdekat, menyebabkan pasaran saham meningkat dan nilai yen melemah. Beliau dikenali kerana memberi sokongan kuat bagi dasar rangsangan ekonomi mantan perdana menteri Shinzo Abe, yang dikenali sebagai “Abenomics”.
Pengunduran Komeito mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan para pelabur dan mendorong mereka untuk menarik balik pelaburan yang dikenali sebagai 'perdagangan Takaichi', yang sebelum ini didorong oleh keyakinan pelabur terhadap dasar rangsangan fiskal kerajaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.