Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gabenor popular Jakarta 'sedia' tanding bagi jawatan presiden

Anggaran Waktu Membaca:
Gabenor popular Jakarta 'sedia' tanding bagi jawatan presiden

(Gambar: Goh Chai Hin/AFP)

Diterbitkan : 16 Sep 2022 11:41AM Dikemas Kini : 16 Sep 2022 12:49PM

INDONESIA: Gabenor terkenal ibu kota Indonesia, Jakarta, pada Khamis (15 Sep) berkata beliau "bersedia" untuk bertanding bagi jawatan presiden untuk negara demokrasi ketiga terbesar di dunia pada 2024. Ini meskipun beliau masih belum mendapatkan sokongan mana-mana parti politik. 

Dengan penggalnya sebagai gabenor selama lima tahun sudah hampir ke penghujungnya bulan depan, Anies Baswedan, 53 tahun, muncul dalam tinjauan bebas pendapat sebagai salah satu individu berperingkat tinggi yang dijangka bertanding dalam pilihan raya presiden pada Februari 2024. 

"Saya bersedia untuk bertanding sebagai presiden jika ada parti melantik saya," katanya kepada Reuters dalam temubual di Singapura, sambil menambah bahawa statusnya yang bukan anggota mana-mana parti memberikan beliau "ruang untuk berkomunikasi dengan semua pihak". 

"Tinjauan-tinjauan yang tidak diminta ini berlaku sebelum saya berkempen, saya rasa mereka membuat saya lebih dipercayai," kata Encik Anies, seorang bekas menteri pendidikan dan rektor universiti. 

Calon-calon popular lain yang berpotensi termasuk Menteri Pertahanan Prabowo Subianto, yang sudah bertanding dua kali sebelum ini tetapi tidak berjaya, dan Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo, seorang ahli politik semakin terkenal dalam parti pemerintah. Presiden sekarang, Encik Joko Widodo sudah mencecah had dua penggalnya dan tidak boleh bertanding lagi. 

Para penganalisis menyatakan Encik Anies mungkin berada di tempat pertama memandangkan popularitinya di salah satu bandar terbesar Asia Tenggara itu, iaitu satu kedudukan yang menjadi langkah yang baik untuk menyandang jawatan presiden. Encik Widodo merupakan gabenor Jakarta selama dua tahun sebelum berjaya dilantik untuk menyandang jawatan paling tinggi itu pada 2014. 

Namun, Encik Anies pernah dikecam mengenai cara beliau mula berkuasa di Jakarta pada 2017, dibantu oleh kumpulan Islamis tegar yang menunjuk perasaan selama beberapa bulan terhadap pesaing dan bekas gabenor Basuki Tjahaja Purnama - seorang Cina Kristian - yang kemudian dipenjara kerana menghina Islam. 

Pada waktu itu, Encik Anies yang berpegang kepada Islam yang sederhana, dilihat tidak mengambil banyak tindakan untuk mengecilkan jurang keagamaan dan kemasyarakatan di negara yang mempunyai bilangan Muslim terbesar di dunia. 

Namun, beliau menegaskan bahawa dasar-dasarnya sebagai gabenor "menyatukan penduduk Jakarta". 

"Sebelum ini, orang ramai membuat tanggapan tentang saya dan pendirian saya dan apa yang saya akan lakukan. Sekarang, saya sudah berkhidmat selama lima tahun, jadi nilai saya berdasarkan realiti dan rekod saya," kata Encik Anies. 

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa