Skip to main content

Dunia

Gabenor New York komited tangani kelemahan undang-undang susuli dakwaan rogol berkumpulan di Cornell

Gabenor New York Kathy Hochul pada Jumaat (2 Okt) berikrar untuk menangani kelemahan undang-undang yang membolehkan para pesalah di negeri itu terlepas daripada tuduhan rogol jika mangsa mengambil bahan yang memabukkan secara sukarela, seperti dalam kes tuduhan rogol berkumpulan di Universiti Cornell.

Anggaran Waktu Membaca:
Gabenor New York komited tangani kelemahan undang-undang susuli dakwaan rogol berkumpulan di Cornell

Gabenor New York Kathy Hochul berucap dalam sidang media berhubung siasatan terhadap dakwaan serangan seksual di Universiti Cornell, di New York City, Amerika Syarikat, pada 2 Oktober 2026. (Gambar: REUTERS/Jeenah Moon)

Diterbitkan : 03 Oct 2026 07:16AM
New York governor committed to addressing legal loopholes after allegations of gang rape at Cornell
  • New York Governor Kathy Hochul pledged to close legal loopholes that could make rape prosecutions more difficult when victims had voluntarily taken intoxicating substances.
  • The move followed a 2024 case involving allegations of gang rape at Cornell University, in which the victim claimed she had been given ketamine and assaulted by seven members of Chi Phi.
  • Hochul appointed Attorney General Letitia James as special prosecutor, while District Attorney Matthew Van Houten is now planning criminal charges against the seven men.
  • Cornell shut down the Chi Phi fraternity, and suspended and expelled several students, while students criticised the administration for allegedly failing to handle the case properly.
Dijana oleh AI
NEW YORK: Gabenor New York Kathy Hochul pada Jumaat (2 Okt) berikrar untuk menangani kelemahan undang-undang yang membolehkan para pesalah di negeri itu terlepas daripada tuduhan rogol jika mangsa mengambil bahan yang memabukkan secara sukarela, seperti dalam kes tuduhan rogol berkumpulan di Universiti Cornell.

Kemarahan tercetus di Amerika Syarikat menyusuli keputusan pihak pendakwa untuk tidak memfailkan pertuduhan dalam kes di universiti Ivy League tersebut dua tahun lalu, mendorong gabenor melantik Peguam Negara New York Letitia James sebagai pendakwa khas.

Siasatan dibuka semula pada Isnin selepas individu yang dipercayai merupakan mangsa memfailkan saman sivil, sekali gus mencetuskan tuduhan bahawa universiti elit tersebut gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadap lelaki-lelaki terbabit.

Pihak yang dipercayai menjadi mangsa kes tersebut menyatakan dalam samannya bahawa pada 2024, dia diberikan dadah ketamin sebelum diserang dan dirogol oleh tujuh anggota persaudaraan pelajar Chi Phi, sebuah kelab sosial bagi pelajar lelaki.

"Ia tidak seharusnya menjadi persoalan sama ada mereka memilih untuk mengambil dadah atau alkohol. Mengambil bahan yang memabukkan secara sukarela bukan satu lesen untuk melakukan serangan seksual atau rogol berkumpulan. Noktah," kata Cik Hochul pada Jumaat.

"Saya menyokong usaha menangani kelemahan ini dan akan bekerjasama dengan Badan Perundangan Negeri New York untuk melaksanakannya."

Beberapa negeri di Amerika Syarikat, termasuk New York, mempunyai peruntukan undang-undang yang menyukarkan pendakwa untuk mendakwa seseorang yang melakukan hubungan seks dengan individu yang mengambil bahan memabukkan secara sukarela sehingga tidak lagi mampu memberikan atau menolak persetujuan secara bermakna.

Pengarah Kanan Keadilan Pendidikan di Pusat Undang-Undang Wanita Nasional, Shiwali Patel, memberitahu AFP ia "amat mengejutkan kelemahan ini masih wujud".

"Ia memberi kesan besar terhadap kes-kes di kampus kerana hakikatnya, sebahagian besar serangan seksual di kampus melibatkan alkohol dan dadah," kata beliau.

"DITUTUP BEGITU SAHAJA"

Cik Hochul mengecam cara siasatan awal terhadap tuduhan mangsa dikendalikan.

"Dia duduk selama berjam-jam dan memberitahu (polis) dengan tepat apa yang berlaku kepadanya. Dan menurut laporan baharu, dia menyatakan dengan sangat jelas bahawa dia 100 peratus yakin dirinya dirogol," kata Cik Hochul.

"Bagaimana mungkin polis dimaklumkan oleh seorang mangsa bahawa dia dirogol secara berkumpulan ketika berada di bawah pengaruh bahan memabukkan ... di rumah persaudaraan pelajar, tetapi tidak membawa tuduhan tersebut kepada perhatian peguam daerah?"

Cik James, seorang anggota Parti Democrat yang beberapa kali bertelagah dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, berkata pada Jumaat bahawa beliau akan "meneliti fakta, mengumpulkan bukti, menemu bual saksi dan, jika terdapat asas yang mencukupi, mengambil tindakan pendakwaan".

Peguam Daerah Tompkins County Matthew Van Houten berkata minggu ini bahawa beliau merancang untuk memfailkan pertuduhan jenayah terhadap tujuh lelaki tersebut.

Beliau berkata pejabatnya sebelum ini memutuskan untuk tidak mengenakan tuduhan pada 2024 kerana keterangan mangsa tidak membuktikan bahawa persetujuan tidak diberikan.

Menyusuli tuduhan tersebut, Cornell menutup persaudaraan pelajar terbabit dan menggantung sementara para pelajar yang dipercayai terlibat, dengan beberapa daripada mereka kemudian dibuang daripada universiti tersebut.

Badan pelajar Cornell mengadakan pertemuan di kampus pada Khamis yang menyaksikan ketegangan emosi.

Para penceramah berulang kali mengecam pihak pentadbiran universiti berhubung cara mereka mengendalikan kes yang kini mendapat perhatian di seluruh negara itu.

"Tiada pegawai awam boleh berpaling apabila sistem gagal dan mengecewakan golongan muda kita. Dan sebagai gabenor, saya tidak akan membenarkan sesiapa menutup kes ini begitu sahaja," kata Cik Hochul pada Jumaat.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita