Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo sedia bertanding dalam pilihan raya presiden

Anggaran Waktu Membaca:
Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo sedia bertanding dalam pilihan raya presiden

Ganjar Pranowo pada 17 Jun 2022. (Ihsan: PDI-P)

JAKARTA: Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo berkata beliau bersedia untuk bertanding sekiranya sebuah parti politik mengisytiharkan dirinya sebagai calon bagi pilihan raya presiden 2024.

Beliau akan menyertai Menteri Pertahanan Prabowo Subianto dan mantan gabenor Jakarta Anies Baswedan yang sudah menyatakan hasrat mereka untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Encik Ganjar menzahirkan kesediaannya untuk bertanding semasa satu sesi wawancara dengan media tempatan BeritaSatu yang disiarkan semalam (18 Okt).

Encik Ganjar ditanya sama ada beliau bersedia untuk bertanding dan ini jawapan beliau: "Untuk nusa dan bangsa, sedia."

Para pengundi berterusan menyifatkan Encik Ganjar sebagai calon presiden paling berpotensi seiring Encik Prabowo dan Encik Anies.

Sekalipun demikian, Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P), di mana Encik Ganjar merupakan salah seorang anggotanya, masih belum mengisytiharkan beliau sebagai calon presiden yang dipilih.

Sebaliknya, parti-parti politik lain seperti Parti Persatuan Pembangunan (PPP), Parti Amanat Nasional (PAN) dan Parti Solidaritas Indonesia (PSI) sudahpun mengisytiharkan Encik Ganjar sebagai calon mereka, jika beliau memutuskan untuk bertanding dalam pilihan raya presiden pada 2024.

Sebuah parti politik hanya boleh menamakan seorang sahaja calon presiden jika ia menguasai sekurang-kurangnya 20 peratus daripada keseluruhan kerusi parlimen atau memperoleh 25 peratus undi dalam pemilihan umum sebelum ini.

Satu-satunya parti politik yang boleh menamakan seorang calon presiden tanpa membentuk parti gabungan ialah PDI-P yang mempunyai 22.26 peratus kerusi di parlimen.

Para penganalisis percaya bahawa ketua PDI-P dan mantan presiden negara itu, Megawati Soekarnoputri menyasarkan anak perempuannya Puan Maharani untuk menjadi calon presiden.

Puan Maharani merupakan speaker Dewan Perwakilan sekarang tetapi pelbagai tinjauan mendapati kemungkinan beliau dipilih adalah bawah 10 peratus.

Menteri Pertahanan Prabowo Subianto menjadi ahli politik yang pertama yang mengesahkan pencalonannya bagi pilihan raya presiden akan datang apabila beliau menzahirkan niatnya itu semasa mesyuarat parti Gerindra pada Ogos.

Gerindra, yang merupakan parti terbesar dalam parlimen, dan juga Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) sudah menyuarakan sokongan kepada Encik Prabowo.

Gerindra dan PKB menguasai lebih 20 peratus kerusi di parlimen.

Mantan gabenor Jakarta Anies Baswedan, yang tiada kaitan dengan mana-mana parti politik, disokong oleh parti politik keempat terbesar, Nasdem.

Ia akan membentuk gabungan dengan Parti Demokrat dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS), supaya ia boleh mencalonkan Encik Anies, yang penggalnya sebagai gabenor Jakarta berakhir pada Sabtu lalu (16 Okt).

Parti kedua terbesar di parlimen, Golkar, membentuk gabungan dengan PAN dan PPP beberapa bulan lalu dan dipanggil Koalisi Indonesia Bersatu (KIB).

Gabungan itu menguasai 25.73 peratus kerusi parlimen, sekali gus membolehkan mereka menamakan seorang calon presiden.

KIB dijangka mengumumkan calon presiden pilihannya pada awal November.
Sumber : CNA/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan