Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

G7 gesa tindakan segera; Biden tegaskan Omicron 'bukan sebab untuk panik'

Menteri Kesihatan negara anggota G7 menggesa diambil 'tindakan segera' bagi memerangi penularan varian baru COVID-19, Omicron ke seluruh dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
G7 gesa tindakan segera; Biden tegaskan Omicron 'bukan sebab untuk panik'

Gambar Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dipetik pada 25 Okt 2021 (Gambar: ANDREW CABALLERO-REYNOLDS/AFP)

Diterbitkan : 30 Nov 2021 04:48PM Dikemas Kini : 30 Nov 2021 04:49PM

LONDON: Menteri Kesihatan negara anggota G7 menggesa diambil 'tindakan segera' bagi memerangi penularan varian baru COVID-19, Omicron ke seluruh dunia.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pula pada Isnin (29 Nov) menegaskan kemunculan varian tersebut 'bukan sebab untuk panik.'

Australia serta Jepun turut menyertai senarai semakin banyak negara di serata dunia yang mengenakan sekatan perjalanan atau menutup sempadan masing-masing, selepas Omicron dikenal pasti dan merebak pantas ke Eropah, Asia serta Amerika Utara.

Namun, Presiden Biden memberitahu rakyat Amerika bahawa setakat ini, beliau tidak menjangkakan perintah berkurung baru akan dilaksanakan atau melanjutkan sekatan perjalanan kerana penularan varian Omicron.

Meskipun belum ada kematian dilaporkan akibat jangkitan varian Omicron, kemunculannya menunjukkan dunia terus dibelenggu ancaman COVID-19 selepas kes pertama virus itu direkodkan hampir dua tahun lalu.

Malah banyak negara, terutama di barat Eropah, terus bergelut dengan peningkatan pantas kes COVID-19 dan melaksanakan semula pelbagai langkah sekatan, sekali gus memberi kesan terhadap perniagaan.

Menyusuli satu sidang tergempar, Menteri Kesihatan negara anggota G7 berkata "masyarakat global berdepan ancaman baru berdasarkan penilaian awal, varian COVID-19 dengan kebolehjangkitan tinggi yang memerlukan tindakan segera diambil."

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan secara keseluruhan, risiko varian Omicron adalah 'sangat tinggi', dan memberi amaran sebarang lonjakan besar penularan COVID-19 akan memberi tekanan terhadap sistem kesihatan dan mengakibatkan lebih banyak kematian.

"Jika berlaku satu lagi lonjakan besar penularan COVID-19 disebabkan varian Omicron, akibatnya berkemungkinan amat teruk," kata WHO.

Sebelum ini, saintis di Afrika Selatan dilaporkan berjaya mengesan varian COVID-19 yang mempunyai sekurang-kurang 10 mutasi berbanding tiga bagi Beta dan Delta, dua - jenis mutasi yang menjejaskan usaha pemulihan global serta mengakibatkan berjuta-juta penduduk seluruh dunia kembali menjalani perintah berkurung.

Doktor di Afrika Selatan, Angelique Coetzee, berkata kes varian Omicron yang dilihatnya bagaimanapun menunjukkan gejala lebih ringan berbanding varian lain. 

Sumber : AFP/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan