Skip to main content

Dunia

G7 gesa larangan makanan laut Jepun dimansuh serta-merta

Anggaran Waktu Membaca:
G7 gesa larangan makanan laut Jepun dimansuh serta-merta

(Gambar: AFP/Peter PARKS)

Diterbitkan : 29 Oct 2023 08:57PM Dikemas Kini : 29 Oct 2023 09:00PM
TOKYO: Kuasa perindustrian Kumpulan Tujuh (G7) pada Ahad (29 Okt) menggesa "pemansuhan serta-merta" larangan import makanan laut Jepun.

Langkah tersebut merujuk kepada larangan dikenakan China, selepas Jepun melepaskan air yang dirawat dari loji nuklear Fukushima.

Dalam satu kenyataan oleh para Menteri Perdagangan G7, yang bertemu pada hujung minggu ini di Osaka, tidak menyebut tentang China tetapi mereka mengecam apa yang dianggap sebagai paksaan ekonomi melalui perdagangan.
G7, yang terdiri daripada Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Britain, Perancis, Itali dan Kanada meluahkan "kebimbangan" atas langkah pengawalan terhadap galian penting baru-baru ini.

China, yang juga pengeluar terbesar grafit di dunia, pada bulan ini mengumumkan sekatan eksport bahan penting itu, yang digunakan dalam bateri kenderaan elektrik. Ia merupakan usaha untuk mengawal bekalan galian penting sebagai respons kepada cabaran terhadap penguasaan keluaran globalnya.

Menteri G7 tersebut "berkongsi keperluan yang kukuh untuk mengurangkan kebergantungan kepada sesebuah negara" bagi bekalan penting, kata Menteri Perdagangan Jepun Yasutoshi Nishimura.

Mereka juga mengesahkan kebimbangan mereka terhadap "dasar-dasar bukan pasaran yang luas dan berubah-ubah", termasuk "subsidi tidak jelas dan mengganggu perdagangan industri" serta pertukaran teknologi yang dipaksa, tulis kenyataan tersebut.

Berhubung Rusia pula, pegawai-peagwai G7 itu mengutuk tindakannya yang memusnahkan prasarana eksport bijirin Ukraine dan pencerobohan ke atas negara itu.

Mereka juga mengutuk keputusan Rusia meninggalkan rundingan secara unilateral, untuk membenarkan pengeluar bijirin utama, Ukraine, mengeksport bijirin dan produk lain melalui Laut Hitam.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita