Freedom Flotilla Coalition umum misi baharu ke Gaza pada Oktober
Freedom Flotilla Coalition (FFC) mengumumkan misi maritim antarabangsa baharu ke Carikan Gaza, dengan kapal-kapalnya akan singgah di beberapa pelabuhan Eropah sebelum meneruskan pelayaran dalam usaha untuk sampai ke wilayah itu pada Oktober, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Freedom Flotilla Coalition (FFC) mengumumkan misi maritim antarabangsa baharu ke Carikan Gaza. (Gambar fail: REUTERS/Ammar Awad)
- Freedom Flotilla Coalition (FFC) melancarkan misi maritim ke Gaza, bermula Jun hingga Oktober, dengan kapal-kapal singgah di pelabuhan Eropah sebelum menuju ke Gaza.
- Misi ini bertujuan mencabar sekatan Israel, membawa bantuan serta tuntutan hak asasi untuk rakyat Palestin, dan meningkatkan tekanan awam di Eropah.
- Gabungan ini melibatkan aktivis, wartawan, wakil rakyat dan penyokong hak Palestin, serta menggesa pemerintah Eropah mengambil tindakan diplomatik dan ekonomi terhadap Israel.
- FFC menekankan risiko yang dihadapi peserta, mengimbas insiden serangan Israel terhadap flotila terdahulu, dan menuntut laluan selamat serta penamatan sekatan ke atas Gaza.
“Kami belayar sekali lagi kerana Israel masih belum menghentikan genosidnya dan Palestin masih belum bebas,” menurut gabungan itu dalam rayuannya bagi mendapatkan sokongan antarabangsa.
Gabungan tersebut dalam kenyataan yang diterbitkan pada Rabu (2 Sep) memaklumkan, misi berkenaan bertujuan mencabar sekatan Israel ke atas Gaza dan meningkatkan tekanan awam di seluruh Eropah.
Pelayaran tersebut sudah ermula, dengan kapal Handala II milik gabungan berkenaan melakukan persinggahan di beberapa pelabuhan di Norway, Sweden dan Denmark sepanjang Jun dan Julai.
Sebuah lagi kapal, Kate, berlepas dari bandar Bristol di Britain pada Ogos sebelum melakukan persinggahan di Ireland, Jerman dan Perancis, menurut kenyataan tersebut.
Kapal-kapal berkenaan dijangka melakukan persinggahan di beberapa pelabuhan di Sepanyol, Portugal dan Itali sebelum meneruskan pelayaran menuju ke Gaza, dengan gabungan tersebut merancang untuk tiba di wilayah berkenaan pada Oktober.
Menurut gabungan itu, misi berkenaan menghimpunkan pembela hak asasi manusia, aktivis kesatuan sekerja, wakil rakyat, wartawan, karyawan perubatan serta penyokong hak rakyat Palestin yang lain.
Gabungan tersebut memaklumkan, pihaknya akan bekerjasama dengan masyarakat tempatan untuk mendesak pemerintah supaya menyekat penghantaran senjata dan tenaga ke Israel, menamatkan kerjasama diplomatik dan ketenteraan dengan pihak berkuasa tersebut serta mengenakan sekatan.
“FFC belayar lagi kerana pemerintah kita terus gagal menunaikan kewajipan mereka,” kata ahli jawatankuasa pemandu gabungan itu Zohar Chamberlain Regev.
“Di setiap pelabuhan, kami akan membawa tuntutan supaya rakyat Palestin bebas untuk hidup dengan bermaruah.
“Pada Oktober, kami berhasrat membawa tuntutan itu serta perpaduan masyarakat di seluruh dunia ke pesisir Gaza,” kata beliau.
Gabungan itu menggesa pemerintah menuntut laluan yang selamat dan tanpa halangan bagi flotila berkenaan serta menegaskan bahawa sebarang serangan, penyitaan atau penahanan pesertanya akan membawa akibat.
Ia turut menggesa akses segera dan tanpa sekatan ke Gaza serta penamatan sekatan Israel terhadap kemasukan makanan, air, ubat-ubatan dan bekalan keperluan asas lain.
Gabungan itu memaklumkan, pemerintah perlu mempertahankan kebebasan pelayaran serta menggunakan langkah diplomatik, ekonomi dan perundangan untuk menamatkan sekatan berkenaan.
“Kami tahu bahawa pelayaran menuju Gaza membawa risiko yang serius.
“Namun, sikap berdiam diri dan tidak bertindak membawa kesan yang jauh lebih besar terhadap rakyat Palestin dan dunia,” kata Edward Digilio, seorang jurutera dari negeri Maryland, Amerika Syarikat, yang menyertai inisiatif berkenaan.
Beliau menyifatkan misi itu sebagai usaha yang “memperlihatkan nilai kemanusiaan bersama dan penolakan untuk menerima kemusnahan seluruh bangsa sebagai sesuatu yang normal.”
Gabungan itu memaklumkan, tentera Israel menyerang dan menahan ratusan peserta flotila dalam misi terdahulu pada musim bunga 2026.
Menurut gabungan itu, sukarelawan melaporkan mereka dipukul dengan teruk sehingga mengalami patah tulang dan luka tembakan, selain berulang kali dikenakan kejutan elektrik menggunakan senjata renjat serta mengalami serangan seksual ketika berada dalam tahanan Israel.
Gabungan itu turut mengimbas serangan Israel terhadap kapal Mavi Marmara yang menuju Gaza pada Mei 2010, yang mengorbankan 10 orang aktivis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.