Skip to main content

Dunia

Freedom Flotilla Coalition dakwa tentera Israel pintas, naik kapalnya menuju Gaza

Penganjur kapal bantuan ke Gaza yang membawa aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg dan aktivis lain berkata tentera Israel memintas kapal itu pada Isnin (9 Jun), selepas Israel berikrar untuk menghalangnya daripada sampai ke wilayah Palestin.

Anggaran Waktu Membaca:
Freedom Flotilla Coalition dakwa tentera Israel pintas, naik kapalnya menuju Gaza

Aktivis Greta Thunberg duduk di atas kapal bantuan Madleen, yang berlepas dari pelabuhan Catania di Itali pada 1 Jun 2025 untuk ke Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan, dalam gambar yang dimuat naik di media sosial pada 2 Jun 2025. (Gambar fail: Freedom Flotilla Coalition melalui REUTERS)

KAHERAH: Penganjur kapal bantuan ke Gaza yang membawa aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg dan aktivis lain berkata tentera Israel memintas kapal itu pada Isnin (9 Jun), selepas Israel berikrar untuk menghalangnya daripada sampai ke wilayah Palestin.

Kapal The Madleen bertujuan untuk menghantar bantuan dan mencabar sekatan tentera laut Israel ke atas Gaza, yang telah dikuatkuasakan sejak sebelum perang Israel-Hamas.

"Ketersambungan 'Madleen' terputus. Tentera Israel telah menaiki kapal itu," dedah Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang memuat naik perkembangan itu di Telegram, sambil menambah bahawa penumpang telah "diculik" oleh tentera Israel.

AFP terputus komunikasi dengan para aktivis di atas kapal.

Mahmud Abu-Odeh, pegawai media yang berpangkalan di Jerman dengan Freedom Flotilla Coalition, memberitahu AFP bahawa "para aktivis kelihatan sudah ditangkap".

Madleen yang berdaftar di Britain, dikendalikan oleh FFC yang pro-Palestin, telah berlepas dari Sicily pada 6 Jun dan berharap untuk sampai ke Gaza pada hari itu, apabila pemintasan berlaku, kata kumpulan itu dalam akaun Telegramnya.

Antara mereka yang menaiki bot itu ialah Thunberg dan Rima Hassan, warga Perancis dan juga Anggota Parlimen Eropah.

Israel telah berikrar akan menghalang kapal itu daripada sampai ke Gaza.

Sejurus sebelum kenyataan FFC, Kementerian Luar Israel memuat naik video ke X yang menunjukkan Tentera Laut Israel berkomunikasi dengan Madleen melalui pembesar suara, menggesa ia mengubah haluan.

"Zon maritim di luar pantai Gaza ditutup kepada laluan tentera laut sebagai sebahagian daripada sekatan laut yang sah," kata seorang askar. "Jika anda ingin menghulurkan bantuan kemanusiaan ke Carikan Gaza, anda boleh melakukannya melalui pelabuhan (Israel) Ashdod."

Kapal itu, dengan anak kapal seramai 12 orang, membawa penghantaran simbolik bantuan kemanusiaan, termasuk beras dan susu formula bayi.

Kementerian Luar Israel menyatakan, Tentera Laut telah mengarahkan kapal itu menukar haluan apabila ia menghampiri "kawasan larangan". Kira-kira sejam kemudian, ia mendedahkan bahawa kapal itu ditarik ke pantai Israel.

"Penumpang dijangka pulang ke negara asal mereka," tulis kementerian itu di media sosial.

"Sejumlah kecil bantuan yang ada di atas kapal dan tidak digunakan oleh 'selebriti' akan dipindahkan ke Gaza melalui saluran kemanusiaan sebenar," tambah kementerian itu.

Israel mengenakan sekatan tentera laut ke atas pantai wilayah tersebut selepas Hamas menguasai Gaza pada 2007.

Sekatan itu dikekalkan menyusuli pelbagai konflik, termasuk perang semasa, yang bermula selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Okt 2023, yang mengorbankan lebih 1,200 orang, menurut pengiraan Israel.

Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan bahawa lebih 54,000 rakyat Palestin terbunuh sejak permulaan kempen ketenteraan Israel. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran bahawa sebahagian besar daripada lebih 2 juta penduduk Gaza menghadapi kebuluran.

Pemerintah Israel berkata sekatan itu penting untuk menghalang senjata daripada sampai ke tangan Hamas.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita