Forum pertahanan China bakal diadakan di tengah ketegangan serantau
Kepimpinan tentera China dijangka menggariskan matlamatnya bagi keselamatan global apabila negara tersebut menganjurkan forum pertahanan tahunannya minggu ini, di tengah-tengah ketegangan di rantau sekitarnya berhubung Taiwan, Laut China Selatan serta keraguan berhubung komitmen Amerika Syarikat terhadap Asia.
Menteri Pertahanan China Dong Jun berucap semasa Forum Xiangshan Beijing di Beijing, China, pada 18 September 2025. (Gambar: REUTERS/Maxim Shemetov)
- China menganjurkan Forum Xiangshan di Beijing selama tiga hari, dihadiri pegawai tentera, diplomat dan cendekiawan dari pelbagai negara termasuk Malaysia dan Vietnam.
- Menteri Pertahanan Dong Jun dijangka menekankan kerjasama antarabangsa serta mengkritik Amerika Syarikat dan Jepun secara tersirat dalam ucapannya.
- Forum ini menjadi platform China untuk menonjolkan peranan keselamatan serantau, di tengah keraguan terhadap komitmen Amerika Syarikat di Asia dan ketegangan di Laut China Selatan serta Taiwan.
- Acara ini juga memberi peluang kepada delegasi asing menilai kepimpinan tentera China, menjelang perubahan barisan kepimpinan Suruhanjaya Ketenteraan Pusat tahun depan.
Menteri Pertahanan Dong Jun dijangka melancarkan Forum Xiangshan selama tiga hari di Beijing pada Selasa (15 Sep) dan sekali lagi menyeru kerjasama antarabangsa yang lebih erat dalam dunia yang mempunyai pelbagai pusat kuasa. Namun, ucapannya juga berkemungkinan mengandungi kritikan tersirat terhadap Amerika Syarikat dan sekutunya, menurut para diplomat dan penganalisis.
Ratusan pegawai tentera, diplomat dan cendekiawan dari puluhan negara dijangka menghadiri acara tiga hari itu, yang disusun rapi dan dilihat sebagai saingan China kepada Dialog Shangri-La di Singapura, yang secara umumnya dianggap lebih terbuka dalam perbincangannya.
Sebilangan diplomat dan penganalisis Asia berkata sebarang kritikan terbuka China terhadap Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu Baratnya mungkin lebih terkawal berikutan rancangan Presiden Xi Jinping untuk melawat Washington lewat bulan ini untuk bertemu dengan Presiden Donald Trump.
Bagaimanapun, Jepun mungkin menjadi sasaran yang lebih mudah memandangkan ketegangan semasa antara Beijing dengan Tokyo.
"Saya menjangkakan tuan rumah China juga akan menggunakan platform itu untuk terus membangkitkan sejarah Jepun semasa perang dan mengkritik apa yang disebutkan sebagai 'persenjataan semula' Tokyo," kata pengkaji keselamatan China yang berpangkalan di Singapura, James Char.
Taiwan, yang tenteranya pada bulan lalu menjalankan latihan ketenteraan dan pertahanan awam sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan serangan China, tidak menghadiri forum tersebut atau kebanyakan acara utama di peringkat antarabangsa. Kedua-dua pemerintah tidak mengiktiraf satu sama lain dan China menganggap pulau yang ditadbir secara demokratik itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Ucapan Encik Dong pada Selasa menyusuli kenyataan Encik Xi baru-baru ini yang menggesa agar negara-negara Global Selatan diberi perwakilan lebih besar dalam hal ehwal antarabangsa.
Pada sidang puncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai di Kyrgyzstan awal bulan ini, Encik Xi berkata: "Penguasaan hal ehwal antarabangsa oleh segelintir pihak merupakan ketidakadilan yang diwarisi daripada sejarah, dan tadbir urus global yang ditentukan oleh satu, beberapa atau satu blok yang dibentuk beberapa negara bukanlah aturan pelbagai hala yang sebenar."
Negara-negara Barat secara amnya menghantar delegasi peringkat lebih rendah ke forum tersebut, manakala beberapa negara serantau akan menghantarkan para menteri sedang mereka cuba untuk mengimbangi hubungan dengan China, sebuah kuasa tentera moden, dan Amerika Syarikat, yang sekian lama menjadi sekutu pertahanan utama di Asia Timur.
Delegasi Amerika Syarikat dijangka diketuai Pengarah Utama Pentagon bagi China, Taiwan dan Mongolia, Cynthia Carras, menurut seorang pegawai Amerika Syarikat.
Vietnam, negara jiran China dan pesaingnya dalam pertikaian di Laut China Selatan, akan menghantar Menteri Pertahanan Phan Van Giang, manakala Malaysia akan diwakili Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
KERAGUAN TERHADAP CHINA DAN AMERIKA
Keraguan berhubung komitmen keselamatan Amerika Syarikat di Asia akan memberi ruang kepada Beijing untuk berhujah bahawa pertahanan serantau harus diuruskan oleh negara-negara Asia. Namun, tindakan China yang semakin tegas mengehadkan keupayaannya untuk memanfaatkan keadaan tersebut, kata pakar politik dan keselamatan Asia Timur di Brookings Institution yang berpangkalan di Washington, Patricia Kim.
"Banyak negara Asia masih sangat ragu-ragu terhadap China disebabkan oleh tindakannya yang semakin tegas di rantau ini, khususnya di Laut China Selatan," kata Cik Kim.
Sedang usaha Encik Xi membanteras rasuah dalam tentera China diteruskan, forum tersebut dijangka memberi peluang kepada delegasi asing untuk menilai kesannya terhadap kepimpinan tentera negara itu.
Forum tersebut diadakan menjelang kongres Parti Komunis yang memerintah pada tahun depan, yang akan memuktamadkan barisan kepimpinan baharu Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, badan pemerintah tertinggi Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).
Pada masa ini, hanya dua daripada tujuh kerusi dalam suruhanjaya itu diisi - dan salah satunya diduduki Encik Xi selaku pemimpin tertinggi tentera.
"Oleh itu, forum tahun ini akan menjadi peluang yang baik bagi delegasi pertahanan asing untuk bertemu dengan para individu yang berpotensi menjadi anggota kepimpinan PLA bagi generasi seterusnya," kata Encik Char dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.