Forum hak asasi PBB akan bincang krisis Myanmar
Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat (12 Feb) untuk membincangkan krisis di Myanmar setelah pemerintah awam negara itu digulingkan oleh pihak tentera, umum PBB dalam kenyataannya pada Isnin.
(Gambar: AFP/Ye Aung Thu)
GENEVA: Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat (12 Feb) untuk membincangkan krisis di Myanmar setelah pemerintah awam negara itu digulingkan oleh pihak tentera, umum PBB dalam kenyataannya pada Isnin.
Britain dan Kesatuan Eropah (EU) meminta mesyuarat itu diadakan pada awal Isnin, dengan usulan tersebut disokong oleh 19 daripada 47 anggota forum, terutama negara-negara Barat dan juga Jepun dan Korea Selatan, menurut kenyataan tersebut.
Amerika Syarikat - yang mengumumkan pada Isnin bahawa ia akan menyertai forum tersebut setelah menarik diri pada Jun 2018 - adalah antara 28 negara pemerhati yang menyokong langkah tersebut.
Para penyokong membincangkan draf ketetapan yang akan dibentangkan untuk disokong oleh semua pihak pada sesi tersebut, menurut para diplomat.
Berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan raya pada hari ketiga bantahan diadakan untuk menentang rampasan kuasa yang menggulingkan pemerintah awam pimpinan Aung San Suu Kyi.
Jeneral Kanan Min Aung Hlaing berkata juntanya akan mengadakan pilihan raya baru dan akan menyerahkan kuasa kepada pemenangnya.
Julian Braithwaite, Duta Besar Britain ke PBB di Geneva, memberitahu mesyuarat Majlis Hak Asasi Manusia PBB bahawa langkah tentera menahan ahli politik dan orang awam "mempunyai kesan yang sangat serius terhadap hak asasi manusia di negara itu".
Beliau menambah bahawa Thomas Andrews, penyiasat PBB mengenai hak asasi manusia di Myanmar, mengusulkan mesyuarat khas tersebut bagi menunjukkan kepada rakyat Myanmar bahawa "mereka tidak bersendirian dalam masa bahaya dan genting mereka."
"Paling penting, kita harus segera bertindak terhadap penderitaan rakyat Myanmar dan keadaan hak asasi manusia yang semakin meruncing di sana," gesa Encik Braithwaite.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.