"Food bank" gajah di Kelantan dipertimbang, Terengganu pula tanam rumput Napier
Kerajaan negeri Kelantan mengesahkan sedang mempertimbang cadangan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk menyediakan 'food bank' atau bank makanan di 18 stesen yang dikenal pasti di Jeli bagi menangani isu ancaman gajah.
Jeli adalah daerah di Kelantan yang dikenal pasti paling kritikal berlaku konflik manusia dan gajah. (Gambar hiasan: Bernama)
Timbalan Menteri Besar Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata perkara berkenaan perlu diperincikan terlebih dahulu sebelum pertimbangan kelulusan dibuat.
"Cadangan berhubung 'food bank' atau bank makanan oleh UMK ini sudah dalam pengetahuan kami. Cuma disebabkan ia membabitkan keluasan agak besar, kita perlu kenal pasti keadaan tanah itu secara terperinci.
"Status tanah itu penting sama ada ia hutan simpan atau sebaliknya dan perkara ini dalam penelitian serta pertimbangan kerajaan negeri.
"Bagaimanapun kita menyambut baik cadangan UMK kerana ia bertujuan untuk mengatasi konflik antara manusia dan gajah," katanya ketika dihubungi Berita Harian Online.
Terdahulu media melaporkan UMK mengenal pasti 18 stesen membabitkan keluasan 360 hektar di Jeli untuk dijadikan 'food bank' atau bank makanan bagi mengekang konflik hidupan liar terutama gangguan gajah terhadap penduduk yang kini semakin membimbangkan, lapor Berita Harian Online.
Ini kerana Jeli adalah daerah di Kelantan yang dikenal pasti paling kritikal berlaku konflik manusia dan gajah sehingga mengakibatkan kerugian ribuan ringgit apabila tanaman dan harta benda penduduk musnah, selain penduduk terpaksa hidup dalam kebimbangan.
Ketua Projek Kajian Kesesuaian Mewujudkan Koridor Gajah di Jeli, Prof Madya Dr Kamarul Ariffin Kambali @ Hambali, berkata 18 stesen berkenaan sudah dikenal pasti di tiga mukim iaitu Mukim Belimbing, Mukim Kalai dan Mukim Jeli Tepi Sungai dengan anggaran kos keseluruhan RM1.3 juta.
Beliau yang juga Pensyarah Pengurusan Hidupan Liar dan Ekologi UMK berkata, pihaknya sudah menjalankan kajian dengan kerjasama Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dan PERHILITAN sejak Julai 2023, lapor Berita Harian Online.
Katanya, sebagai permulaan atau projek rintis, bank makanan itu dimulakan di Mukim Kalai membabitkan tiga stesen dengan setiap stesen atau kawasan itu berkeluasan 20 hektar yang menelan kos RM74,000 (S$22,517) setiap satu.
Sementara itu, tanaman rumput Napier antara cadangan akan dilaksanakan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah pencerobohan gajah liar di Terengganu.
Selain tanaman rumput Napier, pemasangan pagar elektrik gajah (SPEG), penubuhan pasukan Rangers sukarela dan sistem pencahayaan turut dicadangkan untuk dilaksanakan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Razali Idris berkata, semua kawasan pembalakan, terutama di lokasi laluan gajah akan ditanam dengan rumput Napier selepas aktiviti penebangan selesai dilakukan, lapor Berita Harian Online.
Katanya, kerajaan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan bekerjasama bagi mengenal pasti untuk menyediakan kawasan rayau khas untuk gajah liar sebelum ditanam dengan Napier.
"Setakat ini kerajaan sudah membelanjakan RM3.5 juta untuk pemasangan SPEG sejauh kira-kira 89.5 kilometer (km) bertujuan mengelak ancaman haiwan itu di negeri ini.
"Kita juga akan menubuhkan dua lagi pasukan Rangers sukarela masing-masing di daerah Kemaman dan Setiu sebagai langkah pencegahan awal pencerobohan gajah liar," katanya ketika dihubungi.
Encik Razali yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal berkata demikian mengulas status Terengganu antara lima negeri yang berdepan gangguan gajah liar.
Beliau berkata, penubuhan pasukan Rangers Basung dianggotai 60 peratus penduduk tempatan, manakala bakinya pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), pejabat daerah Hulu Terengganu dan PERHILITAN di Hulu Terengganu sejak Januari lalu berkesan menangani masalah pencerobohan gajah liar di kawasan berkenaan.
Katanya, kerajaan juga bercadang memperbanyak sistem pencahayaan di semua kawasan dikenal pasti lokasi kawanan gajah bagi mengelakkan haiwan berkenaan menceroboh dan memusnahkan tanaman penduduk, lapor Berita Harian Online.
"Kita akan memasang lampu menggunakan sistem solar di kawasan yang dikenal pasti berlakunya kekerapan pencerobohan haiwan berkenaan," katanya.
Mengenai ganti rugi kemusnahan tanaman disebabkan pencerobohan gajah liar, Encik Razali berkata, kerajaan negeri melalui EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dr Azman Ibrahim mewujudkan Tabung Bencana Negeri (TBP) sebanyak RM2 juta setahun untuk membantu sektor pertanian yang sering berhadapan dengan bencana alam dan ternakan diserang pelbagai penyakit serta musibah luar biasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.