Firma ubat India diarah henti pengeluaran susuli kematian misteri di Cameroon

Gambar fail: AFP/Fabrice Coffrini
ANKARA: Pengeluar ubat India, Riemann Labs diminta menghentikan pengeluarannya selepas sirap batuk keluarannya dikatakan mempunyai kaitan dengan kematian dalam kalangan kanak-kanak di Cameroon.
Dalam jawapan bertulis yang dibacakan di Parlimen, Kementerian Kesihatan India menyatakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah mengeluarkan amaran dan meminta maklumat mengenai empat kes produk sirap yang dieksport dari India.
"Susuli laporan itu, Pertubuhan Kawalan Standard Ubat-Ubatan dengan penyelarasan Pengawal Ubat-Ubatan Negeri menjalankan siasatan bersama," lapor agensi berita Anadolu yang memetik kenyataan itu.
Hasil pemeriksaan bersama ke atas Riemann Labs di wilayah Madhya Pradesh, pihak berkuasa mengarahkan firma itu menghentikan pengeluarannya, menurut kementerian tersebut.
Pada Jun, akhbar harian India, Mint melaporkan lebih 12 kanak-kanak meninggal dunia di Cameroon sejak beberapa bulan lalu, dengan pihak berkuasa mengaitkannya dengan sirap batuk yang dipercayai dikeluarkan oleh India.
India dibelenggu dilema selepas sirap batuk keluarannya sering dikaitkan dengan kematian berpuluh-puluh kanak-kanak di negara asing.
Bulan lalu, pengawal selia ubat-ubatan India menyatakan pihaknya menghentikan pengeluaran di 31 firma.
Pada April, WHO mengeluarkan amaran mengenai sirap batuk tercemar keluaran syarikat India di Kepulauan Marshall dan Micronesia.
Sebelum itu, pada bulan Mac, pihak berkuasa kesihatan India membatalkan lesen Marion Biotech selepas sirap batuk keluaran syarikat tersebut dikaitkan dengan kematian sekurang-kurangnya 19 kanak-kanak di Uzbekistan tahun lalu.
Tiga orang ditahan berhubung kes itu.
Pada Februari, sebuah lagi firma India, Global Pharma Healthcare menarik balik ubat mata selepas Amerika Syarikat (AS) mengesan 55 kes mengalami kesan buruk, termasuk satu kematian.
Insiden di Uzbekistan itu menyusuli kes serupa di Gambia pada Oktober tahun lalu apabila WHO mengeluarkan amaran ke atas empat ubat tercemar yang dikaitkan dengan kecederaan buah pinggang akut dan 66 kematian kanak-kanak.
Sirap batuk dan selsema itu dikeluarkan oleh Maiden Pharmaceuticals Limited di India dan pengeluarannya sudahpun dihentikan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.