Firma Korea Selatan cipta kit ujian baru; mampu bezakan antara Omicron dengan Delta
Ujian COVID-19 di Seoul pada 14 Disember 2021. (Gambar: Jung Yeon-je/AFP)
SEOUL: Firma perubatan di Korea Selatan, Bioneer Corp, mengumumkan hari ini (17 Dis) bahawa ia berjaya menghasilkan dua kit baru bagi ujian COVID-19 yang berupaya mengesan varian baru Omicron dan ia juga dapat memperbezakan antara varian Omicron dengan Delta.
Ia juga merupakan kali pertama sesebuah firma perubatan tempatan berhasil mencipta kit yang berupaya mengenal pasti mutasi unik pada varian Omicron dan Delta, versi COVID-19 yang dominan dan paling mudah berjangkit, menurut laporan agensi berita Yonhap.
Walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa Omicron berpotensi menimbulkan risiko global yang sangat tinggi , kebanyakan kit ujian di pasaran sekarang ini tidak dapat membezakan antara varian Omicron dengan Delta.
Kemajuan ini, dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA), diumumkan selepas beberapa kajian membayangkan varian Omicron mungkin kurang memudaratkan berbanding varian Delta.
Menurut Bioneer, kit ciptaannya itu boleh membantu doktor dan kakitangan hospital untuk mengasingkan pesakit COVID-19 yang lebih berpotensi sakit teruk.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.