Skip to main content

Dunia

Firma guaman Kirkland akan peruntuk $500j cipta platform AI sendiri

Anggaran Waktu Membaca:
Firma guaman Kirkland akan peruntuk $500j cipta platform AI sendiri

(Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 29 May 2026 07:28AM
  • Kirkland & Ellis mengumumkan pelaburan AS$500 juta untuk membangunkan platform AI sendiri dalam tempoh tiga hingga empat tahun, bermula 2026.
  • Firma ini akan membina platform berdasarkan maklum balas 250 peguam dan lebih 180 profesional teknologi, sambil terus menggunakan program AI pihak ketiga.
  • Firma guaman utama lain seperti Freshfields turut bekerjasama dengan syarikat AI seperti Anthropic untuk menghasilkan aplikasi AI khusus perundangan.
  • Peningkatan penggunaan AI dalam bidang guaman membawa manfaat operasi tetapi juga risiko seperti isu keselamatan data dan kesilapan rujukan undang-undang, seperti yang berlaku kepada Sullivan & Cromwell.
Dijana oleh AI
WASHINGTON: Firma guaman Amerika Syarikat, Kirkland & Ellis, memaklumkan bahawa ia akan memperuntukkan AS$500 juta daripada hasil pendapatannya untuk membangunkan platform AI tersendiri, sekali gus memperhebat persaingan pelaburan teknologi dalam industri perundangan.

Kirkland, yang melaporkan pendapatan AS$10.6 bilion tahun lalu, berkata pada Khamis (28 Mei)bahawa dana tersebut akan dilaburkan dalam tempoh tiga hingga empat tahun, bermula dengan AS$100 juta pada tahun 2026.

Firma yang diasaskan di Chicago itu, dan mempunyai ribuan peguam di seluruh dunia, turut menyatakan bahawa ia masih akan menggunakan beberapa program AI berlesen daripada pihak ketiga. Namun, ia enggan mendedahkan sama ada platform yang dirancang itu akan bergantung kepada model AI generatif tertentu.

Firma-firma guaman utama yang mahu memperkemas operasi dan tugasan perundangan kini muncul sebagai pelanggan penting bagi teknologi AI. Malah, sebahagian daripadanya telah memeterai kerjasama dengan syarikat pemula AI terkemuka untuk bersama-sama membangunkan alat AI khusus bagi sektor perundangan.

Bulan lalu, firma guaman berpangkalan di London, Freshfields, mengumumkan bahawa ia akan bekerjasama dengan pasukan perundangan Anthropic — pembangun Claude — untuk menghasilkan aplikasi AI bagi perkhidmatan guaman.

Kirkland berkata platform tersebut akan direka berdasarkan maklumat dan maklum balas daripada 250 peguam Kirkland, selain melibatkan lebih 180 profesional teknologi dari dalam dan luar firma itu.

Perincian rancangan tersebut pertama kali dilaporkan oleh Financial Times.

Dalam wawancara bersama Reuters baru-baru ini, beberapa pemimpin firma guaman berkata terdapat peningkatan permintaan bagi program AI yang direka khas untuk membantu tugasan perniagaan dan perundangan tertentu, selain perdebatan berterusan mengenai sejauh mana pembangunan teknologi itu perlu dilakukan secara dalaman.

Andrew Johnson, ketua pegawai maklumat firma guaman Brownstein Hyatt, berkata lima tahun lalu, idea membangunkan platform AI tersendiri yang disesuaikan dengan keperluan firma sering dipandang dingin.

“Saya boleh katakan keadaan itu kini sebahagian besarnya sudah berubah,” katanya.

Namun begitu, penggunaan AI yang semakin meluas dalam kalangan peguam turut membawa risiko, termasuk isu keselamatan data dan kecenderungan teknologi itu untuk mereka-reka rujukan kes, salah memetik undang-undang atau menghasilkan sumber perundangan yang tidak wujud.

Hakim-hakim di Amerika Syarikat telah mengenakan tindakan terhadap para peguam dalam puluhan kes selepas mereka didapati menggunakan AI untuk penyelidikan atau mempersiap dokumen tanpa menyemak sepenuhnya ketepatan hasil yang dijana.

Bulan lalu, firma guaman Wall Street, Sullivan & Cromwell, memohon maaf kepada seorang hakim persekutuan selepas mengemukakan dokumen mahkamah yang mengandungi petikan tidak tepat dan kesilapan lain yang dijana oleh AI.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita