Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Firma China, Rusia antara pelabur asing pertama di ibu kota baharu Indonesia Nusantara

Anggaran Waktu Membaca:
Firma China, Rusia antara pelabur asing pertama di ibu kota baharu Indonesia Nusantara

Gambar: Biro Akhbar, Media, dan Maklumat Sekretariat Presiden/Muchlis Jr

JAKARTA: Perjanjian bagi kerja-kerja pembinaan bernilai jutaan dolar oleh firma utama China dan Rusia dilancarkan secara rasminya di Nusantara, Indonesia, menurut Presiden Joko Widodo.

Ini sekali gus menandakan detik penting bagi ibu kota baharu tersebut, yang sebelum ini bergelut untuk mendapatkan pembiayaan antarabangsa.

Projek tersebut - yang merangkumi pembangunan hartanah, pelayanan dan pendidikan – dirasmikan oleh Encik Widodo dalam satu majlis yang diadakan pada Rabu (25 Sep).

"Kami sasar untuk membina sebuah ekosistem yang kukuh dan mampan di Nusantara, memastikan ia menjadi satu destinasi pelaburan yang menarik," ujar Encik Widodo mengenai perjanjian tersebut, seperti yang dipetik oleh agensi berita Antara. "Ini menunjukkan kepercayaan pelabur tempatan, domestik dan antarabangsa bahawa Nusantara adalah tempat yang sangat menarik bagi pelaburan."

Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Uno, menyuarakan rasa optimis kepada pelaburan baharu itu, sambil mengatakan bahawa ia boleh menggalak lebih banyak pelaburan antarabangsa yang sekali gus akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan di seluruh Indonesia.

Projek hartanah sulung China di Nusantara akan diterajui oleh Delonix Group, sebuah firma pelancongan dan pelayann terkemuka China dengan pelaburan sebanyak 500 bilion rupiah (S$41.8 juta). Kompleks bersepadu seluas 2.42 hektar yang dirancang itu akan merangkumi sebuah hotel dengan sebanyak 200 bilik, pangsapuri mewah, pusat beli-belah, pejabat dan kemudahan sukan.

Magnum Estate International Rusia, pemaju hartanah mewah terkemuka di Bali, akan melancarkan kompleks resort bersepadu seluas 1.3 hektar yang menempatkan pangsapuri servis dan ruang komersil, dengan anggaran kos yang sama sehingga 500 bilion rupiah. (S$42.3 juta).

Sebuah kemudahan pendidikan antarabangsa, yang mampu menampung seramai 750 pelajar dari pendidikan prasekolah hingga sekolah menengah, akan dibangunkan oleh AIS Australia yang mengendalikan banyak sekolah antarabangsa kurikulum Australia di luar negara.

Menelan belanja sebanyak 150 bilion rupiah (S$12.6 juta), kampus baharu itu akan menampilkan ruang seni persembahan, amfiteater dalaman dan kolam renang bersaiz separa Olimpik dan mempamerkan makmal sains canggih dan kemudahan STEM.

Nusantara dianggap ramai sebagai legasi Encik Widodo.

Penggal presidennya akan berakhir pada 20 Oktober.

Pada 2019, beliau membuat keputusan untuk memindahkan ibu kota Indonesia dari Jakarta, sebuah bandar mega yang sibuk tetapi kian tenggelam dan sesak. Namun, kebimbangan terus dibangkitkan tentang daya maju projek itu dan sejauh mana ibu kota baharu itu inklusif dan bermanfaat.

Bakal Presiden Prabowo Subianto berikrar untuk meneruskan pembinaan Nusantara selepas beliau menyandang jawatan itu pada Oktober nanti.

Nusantara boleh menjangkakan lebih banyak projek penting, kata Encik Widodo.

"Dalam seminggu, kita mungkin melihat pelabur lain bersedia untuk memulakan projek baharu," katanya, sambil menambah bahawa lebih ramai pelabur juga telah mengemukakan cadangan dan surat niat.
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan