Firefly bertemu Changi Airport Group sekali lagi untuk dapatkan hak mendarat
Syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, Firefly, meneruskan perjuangan untuk melindungi perniagaannya dengan ketua pegawai eksekutif baru, Philip See, mengadakan perbincangan dengan Changi Airport Group di Singapura pada Jumaat untuk sekali lagi cuba mendapatkan hak mendarat di negara ini.
Firefly sebelum ini dijadual beroperasi di Lapangan Terbang Seletar mulai 1 Disember 2018. (Gambar fail: Reuters)
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, Firefly, meneruskan perjuangan untuk melindungi perniagaannya dengan ketua pegawai eksekutif baru, Philip See, mengadakan perbincangan dengan Changi Airport Group (CAG) di Singapura pada Jumaat (18 Jan) untuk sekali lagi cuba mendapatkan hak mendarat di negara ini.
Buat masa ini, kedua-dua negara dibelenggu pertikaian berhubung ruang udara, yang sudahpun menyebabkan syarikat penerbangan berkenaan mengalami kerugian berjuta-juta ringgit, menurut akhbar The Malaysian Insight.
Firefly sebelum ini dijadual beroperasi di Lapangan Terbang Seletar mulai 1 Disember 2018. Namun pemeriksaan dengan pihak berkuasa Malaysia pada Oktober lalu mendedahkan bahawa Sistem Pendaratan Alatan (ILS) di Seletar tidak diluluskan.
Oleh itu, Firefly tidak boleh diberikan kelulusan untuk beroperasi dari Lapangan Terbang Seletar. Pada masa yang sama, syarikat penerbangan itu juga kehilangan ruang untuk melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Changi, di mana ia mengendalikan 20 penerbangan setiap hari dari Subang.
Encik See, yang mengambil alih jawatan CEO pada Januari, berkata beliau optimis bahawa lawatannya ke Singapura semalam (18 Jan) untuk bertemu para wakil CAG akan membuahkan hasil.
Menurut laporan The Malaysian Insight, Firefly bertegas bahawa Seletar bertanggungjawab mendapatkan kelulusan bagi ILS dan kegagalannya untuk berbuat demikian menyebabkan kesulitan yang kini dihadapi syarikat penerbangan itu. Oleh itu, Firefly percaya ia mempunyai hak untuk diberikan semula ruang di Changi sehingga pertikaian tersebut dihuraikan.
"Saya optimis tetapi keadaan kurang menentu sejak kebelakangan ini," kata Encik See kepada The Malaysian Insight menjelang lawatannya ke Singapura.
Menyusuli mesyuarat dua hala antara menteri ehwal luar Singapura dengan Malaysia pada minggu lalu, Malaysia bersetuju untuk menggantung kawasan larangan kekal di ruang udara di Pasir Gudang, manakala Singapura pula menggantung pelaksanaan ILS selama sebulan.
Semasa mesyuarat itu, kedua-dua menteri juga mengesahkan lagi hubungan dua hala yang erat dan kukuh antara Malaysia dengan Singapura, serta mengikrarkan komitmen unutk menghuraikan pertikaian tersebut menerusi cara-cara diplomatik.
Encik See sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight bahawa pejabatnya mengirimkan surat kepada Changi pada 9 Januari bagi memperbaharui rayuannya agar ruang pendaratan untuk Firefly dikembalikan, menyusuli mesyuarat 'positif' yang diadakan antara kedua-dua menteri ehwal luar itu.
Encik See, yang sebelum ini adalah ketua strategi dan rangkaian Malaysia Airlines Group (MAG), berkata beliau berharap syarikat penerbangan itu akan dapat menyambung semula penerbangan langsung ke Singapura sebelum Tahun Baru Cina bulan depan.
Pada minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MAG Izham Ismail memberitahu The Malaysian Insight bahawa anak syarikatnya Firefly sudah mengalami kerugian sehingga RM20 juta (S$6.59 juta) akibat penggantungan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.