Skip to main content

Dunia

Filipina wajibkan pendaftaran SIM telefon bimbit bagi perangi penipuan

Anggaran Waktu Membaca:
Filipina wajibkan pendaftaran SIM telefon bimbit bagi perangi penipuan

Gambar hiasan. (Gambar: AFP/Etienne Laurent)

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr pada Isnin (10 Okt) menandatangani undang-undang bagi mewajibkan pendaftaran SIM telefon bimbit, lapor Reuters.

Ia merupakan satu langkah penting ke arah memerangi penipuan teks, bank dan maklumat salah.

Undang-undang itu akan memerlukan pengguna memberikan nama penuh dan dokumen pengenalan diri sebelum membeli kad SIM. Ia bertujuan untuk menghalang penjenayah daripada menyembunyikan identiti mereka.

"Kami akhirnya akan mencapai apa yang sudah lama tertunggak, satu cara berkesan untuk mengawal pengeluaran kad SIM bagi membendung penyebaran mesej teks 'spam' dan penipuan," kata Encik Marcos dalam ucapan beliau.

Filipina adalah salah satu negara yang mempunyai kadar penembusan telefon bijak tertinggi di Asia iaitu 61 peratus daripada 110 juta penduduk negara itu.

Penduduk sangat bergantung kepada peranti mudah alih untuk membeli-belah, membuat pesanan penghantaran makanan dan khidmat perbankan semasa pandemik.

Di bawah undang-undang baru itu, pengguna prabayar sedia ada juga perlu membuat pendaftaran.

Penyedia telekomunikasi Filipina yang menyekat lebih satu bilion teks 'spam' dan mesej yang mencurigakan tahun ini, menyambut baik langkah terbaru itu.

Ribuan rakyat Filipina kehilangan sejumlah kecil wang mereka kepada kegiatan pancingan data melalui perkhidmatan pesanan ringkas tahun ini.

Namun, hanya sebilangan kecil yang memfailkan aduan rasmi, menurut Kementerian Maklumat dan Komunikasi.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita