Filipina terima pelancong asing buat kali pertama dalam tempoh dua tahun
Daerah Chinatown Manila pada 28 Januari 2022, menjelang Tahun Baru Lunar. (Gambar: Ted ALJIBE/AFP)
MANILA: Filipina mengalu-alukan kepulangan lebih 200 pelancong asing hari ini (10 Feb), sekali gus menjadi negara Asia Tenggara terbaru yang dibuka semula dalam usaha memulihkan sektor pelancongan yang terjejas selepas sempadannya ditutup kepada pelawat hampir dua tahun akibat pandemik.
Terkenal dengan pantai pasir putih dan hidupan laut, Filipina menyaksikan jumlah kes koronavirus menjunam.
Pegawai pelancongan di lapangan terbang Manila menyambut penumpang yang terbang dari negara-negara termasuk Amerika Syarikat dan China untuk ke pantai-pantai atau bertemu semula dengan keluarga dan rakan-rakan.
"Saya fikir ia akan menjadi rangsangan yang baik untuk pelancongan dan ekonomi Filipina," kata Shawn James Stickney, 31 tahun, seorang pempengaruh media sosial Malaysia yang tinggal di Australia dan terbang ke sana untuk memberi kejutan buat teman wanitanya.
Di Walled City of Intramuros di Manila, pemandu gerabak kuda dan pengendali basikal sewa sedang bersiap sedia untuk apa yang mereka harapkan akan menjadi aliran stabil pelancong untuk memulihkan pendapatan mereka.
"Separuh daripada tetamu kami adalah warga asing yang sedang bercuti di sini jadi kami sangat gembira mengetahui bahawa negara kami akhirnya terbuka kepada pelancong asing," kata Russel Leyco, pengurus perniagaan basikal sewa.
Kes baru koronavirus di Filipina sudah merosot daripada paras tertinggi September iaitu lebih 33,000 kepada lebih 3,500 sehari, manakala lebih separuh daripada 110 juta penduduk negara itu kini sudah divaksin sepenuhnya.
Pelancong perlu menunjukkan bukti vaksinasi tetapi tidak perlu dikuarantin dan syarikat pelancongan berharap ketibaan pelancong akan bertambah banyak untuk meningkatkan sektor itu.
"Kami berharap jumlah ini terus meningkat pada hari, minggu dan bulan mendatang," kata Jose Clemente, ketua kumpulan industri pelancongan.
Filipina mempunyai 8.26 juta pelawat pada 2019, tetapi jumlah itu jatuh 82 peratus pada 2020 apabila sempadan ditutup.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.