Skip to main content

Dunia

Filipina temui sumber gas asli pertama dalam tempoh lebih sedekad

Anggaran Waktu Membaca:
Filipina temui sumber gas asli pertama dalam tempoh lebih sedekad
Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr menyampaikan ucapan Keadaan Negara (SONA) yang keempat di Dewan Perwakilan, Quezon City, Metro Manila, Filipina, pada 28 Julai 2025. (Gambar: REUTERS/Lisa Marie David)
Diterbitkan : 19 Jan 2026 12:45PM Dikemas Kini : 19 Jan 2026 12:49PM
MANILA: Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr berkata pada Isnin (19 Jan) gas dan cecair gas ditemui di sebuah telaga berhampiran lapangan gas Malampaya sedia ada di luar pulau Palawan, penemuan gas asli pertama negara itu dalam lebih satu dekad.

Telaga tersebut, yang dipanggil Malampaya East One atau MAE-1, dianggarkan mengandungi kira-kira 98 bilion kaki padu gas, bersamaan dengan hampir 14 bilion kWh elektrik dalam satu tahun, kata Encik Marcos.

"Keputusan ujian awal menunjukkan bahawa telaga itu mengalir pada 60 juta kaki padu sehari. Ini menunjukkan telaga itu berpotensi untuk menghasilkan lebih banyak lagi, mengesahkan bahawa ia adalah sumber produktiviti tinggi yang setanding dengan telaga Malampaya asal," kata Encik Marcos dalam satu catatan di Facebook.

Telaga tersebut terletak kira-kira 5 km ke timur projek gas-ke-tenaga Malampaya, yang merupakan satu-satunya sumber gas asli tempatan milik Filipina. Kerja-kerja cari gali juga sedang giat dijalankan di kawasan berdekatan dalam blok yang sama.

Projek ini dikendalikan oleh konsortium Service Contract 38, sebuah usaha sama tempatan yang diterajui oleh Prime Energy dengan kerjasama UC38, PNOC Exploration Corporation, dan Prime Oil and Gas Inc.

Filipina, sebuah negara dengan 110 juta penduduk yang mempunyai grid kuasa yang bergantung kepada arang batu di Asia Tenggara, berhasrat untuk meningkatkan penggunaan gas dan tenaga boleh diperbaharui untuk penjanaan kuasa bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Menurut data pasaran dan pemerintah, Filipina berada di landasan yang betul pada tahun 2025 untuk mencatatkan penurunan pertama dalam pengeluaran elektrik berasaskan arang batu dalam tempoh 17 tahun. Ini disebabkan oleh peningkatan penggunaan gas asli cecair (LNG) untuk menjana kuasa elektrik.

"Selain daripada gas asli, penemuan itu juga termasuk cecair gas, bahan api cecair bernilai tinggi. Sumber tambahan ini boleh membantu menyokong usaha pemerintah untuk menstabilkan bekalan kuasa kita," kata Encik Marcos.

Pada 2023, Encik Marcos menandatangani perjanjian yang melanjutkan kontrak pengeluaran untuk blok gas asli Malampaya selama 15 tahun dan membenarkan pengendali untuk menggali telaga baharu dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran, yang menurun.

Sebelum penemuan tersebut, pakar-pakar meramalkan lapangan tersebut akan kering menjelang 2027. Negara Asia Tenggara itu membuka pintunya kepada import gas asli cecair, memastikan operasi loji-loji janakuasa berasaskan gas yang sedia ada berterusan.
Sumber : Reuters/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita