Filipina sedia bekerjasama dengan ICC berhubung penangkapan mantan Presiden Duterte
Pemerintah Filipina bersedia memberikan kerjasama sekiranya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengarahkan Interpol untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap mantan Presiden Rodrigo Duterte, yang dituduh melakukan jenayah semasa kempen antidadahnya.

(Gambar: AFP)
Demikian menurut Setiausaha Eksekutif kepada Presiden Filipina, Lucas Bersamin, pada Jumaat (24 Jan).
"Jika ICC mengambil tindakan dan menyampaikannya melalui Interpol, dan Interpol membuat permintaan kepada kami untuk menangkap atau menyerahkan seseorang yang berada di bawah bidang kuasa ICC, kami akan memberi respons positif terhadap permintaan Interpol," kata Encik Bersamin.
Semasa Duterte menjadi Presiden Filipina dari 2016 hingga 2022, beliau melancarkan perang besar-besaran terhadap dadah, yang menyebabkan lebih 6,000 pembunuhan di luar proses undang-undang.
Pada 2018, Filipina menarik balik pengesahannya terhadap Statut Rom, perjanjian asas ICC.
Pada 2023 pula, Filipina enggan bekerjasama dengan tribunal yang berpusat di The Hague, dan sebaliknya memilih untuk menjalankan siasatan domestik.
Namun, pada November 2024, Filipina mengubah pendiriannya dan bersetuju untuk tidak menghalang Duterte menyerahkan diri kepada ICC sekiranya beliau berhasrat berbuat demikian.
ICC kini sedang mengumpulkan bukti siasatan dakwaan jenayah kemanusiaan yang berkaitan dengan perang dadah Duterte.
Menurut Encik Bersamin, pemerintah Filipina bersedia untuk bekerjasama dengan ICC meskipun Filipina telah menarik diri daripada bidang kuasa mahkamah itu.
Beliau menjelaskan bahawa penangkapan dilakukan melalui Interpol, dan negara Asia Tenggara itu masih menjadi anggota pertubuhan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.