Skip to main content

Dunia

Filipina pertingkat keselamatan Presiden selepas Naib Presiden ugut bunuh

Ancaman bunuh itu muncul ketika jurang perpecahan semakin meluas antara dua keluarga politik paling berkuasa di Filipina - Marcos dan Duterte.

Anggaran Waktu Membaca:
Filipina pertingkat keselamatan Presiden selepas Naib Presiden ugut bunuh

Naib Presiden Filipina Sara Duterte. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 24 Nov 2024 02:31PM Dikemas Kini : 24 Nov 2024 03:24PM
MANILA: Agensi keselamatan Filipina mempertingkatkan protokol keselamatan pada Sabtu (23 Nov) selepas Naib Presiden, Sara memaklumkan sudah mengarahkan Presiden Ferdinand Marcos Jr dibunuh jika beliau sendiri menjadi mangsa pembunuhan.

Ancaman bunuh itu muncul ketika jurang perpecahan semakin meluas antara dua keluarga politik paling berkuasa di negara Asia Tenggara itu.

Cik Sara Duterte memberitahu sidang media sebelum itu bahawa beliau sudah bercakap dengan seorang pembunuh upahan dan mengarahkannya membunuh Presiden Marcos, isterinya, dan Speaker Parlimen Filipina, jika beliau dibunuh.

"Saya sudah bercakap dengan seseorang. Saya sudah arahkan, sekiranya saya dibunuh, pergi bunuh BBM (Marcos), (isteri Marcos) Liza Araneta dan (Speaker) Martin Romualdez. Saya tidak berjenaka. Tiada gurauan, katanya dalam satu taklimat yang sarat dengan kata-kata kesat terhadap Marcos Jr.

"Saya berkata, jangan berhenti sehingga kamu membunuh mereka dan kemudian dia berkata ya."

Cik Duterte berkata demikian sebagai membalas komen online yang menggesanya menjaga keselamatan ketika berada di 'wilayah musuh' apabila hadir di Dewan Kongres bersama ketua kakitangannya.

Pasukan Keselamatan Presiden berkata pihaknya sudah meningkatkan dan memperkukuh protokol keselamatan.

"Kami juga bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mengesan, serta menghalang semua ancaman kepada presiden dan keluarganya," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Polis, Rommel Francisco Marbil berkata, beliau sudah mengarahkan siasatan segera, sambil menambah "sebarang ancaman langsung atau tidak langsung terhadap nyawa presiden mesti ditangani dengan tahap paling mendesak".

Pejabat Perhubungan Presiden pula berkata sebarang ancaman terhadap nyawa presiden mesti sentiasa dipandang serius.

Dalam pada itu, Cik Duterte memberitahu pemberita pada petang Sabtu bahawa beliau turut menerima ancaman sama.

"Berfikir dan bercakap mengenainya adalah berbeza daripada benar-benar melakukannya. Sekiranya saya yang dibunuh, maka akan ada siasatan ke atas kematian saya dan seterusnya siasatan mengenai kematian mereka (Marcos Jr, Araneta dan Romualdez) akan dilakukan," katanya.

Anak perempuan kepada mantan presiden Filipina, Rodrigo Duterte, sebelum ini meletak jawatan daripada Kabinet Marcos Jr pada Jun, namun kekal sebagai Naib Presiden.

Luahan kemarahan Sara Cik Duterte kali ini adalah yang terbaharu dalam siri pertelingkahan yang mengejutkan kepada kepemimpinan politik Filipina. Pada Oktober, beliau juga menuduh Encik Marcos tidak cekap dalam pentadbirannya.

Ia menandakan kejatuhan pakatan politik kukuh yang membantu beliau dan Encik Marcos Jr, nama yang diambil sempena bapanya, pemimpin autoritarian yang telah meninggal dunia, untuk memastikan kemenangan mereka pada 2022 dengan majoriti besar.

Speaker Romualdez, sepupu kepada Presiden Marcos Jr pula menimbulkan kemarahan Cik Duterte dengan mengurangkan belanjawan pejabat timbalan presiden itu sebanyak hampir dua pertiga.

Kedua-dua keluarga itu berselisih dalam isu termasuk dasar luar dan perang habis-habisan mantan Presiden, Rodrigo Duterte terhadap dadah.



 
Sumber : Agensi berita/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita