Filipina laksana semula perintah berkurung di Manila; jangkitan COVID-19 naik mendadak
Filipina akan menguatkuasakan semula perintah berkurung yang lebih ketat di ibu kota negara itu dan kawasan-kawasan di sekelilingnya untuk membendung penularan COVID-19 selama dua minggu mulai Selasa (4 Ogos), sedang negara itu bergelut untuk membendung jangkitan yang melonjak melebihi 100,000 kes.
(Gambar: AP)
MANILA: Filipina akan menguatkuasakan semula perintah berkurung yang lebih ketat di ibu kota negara itu dan kawasan-kawasan di sekelilingnya untuk membendung penularan COVID-19 selama dua minggu mulai Selasa, menurut pihak berkuasa pada Ahad (2 Ogos), sedang negara tersebut bergelut untuk membendung jangkitan yang melonjak melebihi 100,000 kes.
Presiden Rodrigo Duterte meluluskan usulan untuk meletakkan Metro Manila dan wilayah-wilayah berdekatan seperti Laguna, Cavite, Rizal dan Bulacan di bawah Kuarantin Masyarakat Dipertingkat Yang Diubah Suai (MECQ) sehingga 18 Ogos, menurut jurucakapnya Harry Roque kepada para wartawan.
Sesetengah perniagaan dan khidmat pengangkutan awam dijangka akan ditutup di ibu kota, yang kini diletakkan di bawah Kuarantin Masyarakat Am yang lebih longgar.
Pas kerja dan kuarantin juga diperlukan sebagai sebahagian daripada usaha pihak berkuasa untuk menghadkan pergerakan.
Langkah Presiden Duterte itu diumumkan setelah 80 kumpulan tempatan yang mewakili 80,000 doktor dan sejuta jururawat menggesa kawalan yang lebih ketat, sambil mengatakan bahawa negara itu tewas dalam usaha melawan virus korona.
"Saya sudah mendengar (rayuan) anda. Jangan berputus asa. Kami tahu anda sedang berasa letih," kata Presiden Duterte pada Ahad, ketika berucap kepada kakitangan perubatan barisan hadapan dalam ucapan yang disiarkan di televisyen setelah bertemu dengan para anggota kabinet dan pasukan petugas COVID-19.
Filipina mencatat lagi 5,032 jangkitan pada Ahad, lonjakan terbesar dalam tempoh sehari di negara itu, menjadikan kes virus korona yang disahkan sebanyak 103,185. Angka korban pula meningkat lagi 20, menjadikannya 2,059.
Jumlah jangkitan dan angka korban akibat COVID-19 di Filipina adalah yang kedua tertinggi di Asia Tenggara, di belakang Indonesia.
Presiden Duterte juga meluluskan pengambilan seramai 10,000 karyawan perubatan untuk meningkatkan tenaga kerja semasa dan faedah tambahan bagi pekerja kesihatan yang merawat pesakit COVID-19, kata Encik Roque.
Pada pertengahan Mac, Presiden Duterte mengisytiharkan salah satu perintah berkurung yang paling ketat dan paling di dunia di ibu kota negara itu dan beberapa wilayah lain untuk mengekang penularan virus korona.
Beliau mula melonggarkan perintah tersebut pada Jun dalam usaha untuk memulihkan ekonomi domestik, yang kini mengalami penguncupan terbesar dalam tempoh lebih tiga dekad.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.