Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Filipina ingin bangun ekosistem halal bagi tingkatkan pelancongan, perdagangan

Anggaran Waktu Membaca:
Filipina ingin bangun ekosistem halal bagi tingkatkan pelancongan, perdagangan

(Gambar: Manila Public Information Office)

MANILA: Filipina sedang membangunkan "ekosistem halal" untuk cuba meningkatkan pelancongan dan perdagangan.

Demikian menurut Suruhanjaya Kebangsaan Muslim Filipina (NCMF), sedang negara tersebut menyasarkan lebih banyak pertukaran komersil dengan negara-negara Arab dan Islam, lapor Arab News.

Terdapat kira-kira 10 juta Muslim di Filipina, yang mempunyai hampir 120 juta penganut Katolik. Namun, negara itu sedang mengembangkan industri halal tempatannya dengan ketara.

Pemerintah Filipina ingin meraih 230 bilion peso (S$5.3 bilion) melalui pelaburan dan menjana kira-kira 120,000 pekerjaan menjelang 2028 dengan memanfaatkan pasaran halal global, yang dianggarkan bernilai lebih AS$7 trilion (S$9.4 trilion).

NCMF, agensi pemerintah yang bertanggungjawab untuk mempromosikan hak dan kebajikan masyarakat Muslim Filipina, adalah tunggak penting untuk memastikan produk dan inisiatif dibangunkan bawah industri halal negara itu mematuhi undang-undang Islam.


Suruhanjaya itu sedang bekerjasama dengan agensi pemerintah lain, termasuk Jabatan Perdagangan, Jabatan Pertanian dan Jabatan Pelancongan, sedang Filipina cuba mengembangkan kehadiran pasaran produk bersijil halalnya, yang bukan sahaja merangkumi produk dan perkhidmatan makanan dan minuman, tetapi juga pelancongan.

Sejak Filipina memenangi anugerah Destinasi Mesra Muslim Kian Muncul di Sidang Puncak Halal dalam Perjalanan Global pada tahun 2023, ia melabur dengan ketara untuk menarik pelawat dari Timur Tengah dan negara-negara majoriti Islam berdekatan seperti Indonesia, Malaysia dan Brunei, terutamanya dengan memastikan pelawat mempunyai akses kepada produk dan perkhidmatan halal.

Tanpa ekosistem halal, ramai pengunjung dari negara-negara Arab dan Islam mungkin memilih untuk melawat negara lain seperti Malaysia, "kerana mereka yakin mereka boleh mencari makanan halal dengan mudah di sana, tidak seperti di Filipina," kata Sabbudin Abdurahim, setiausaha NCMF, seperti dinukil Arab News.

Encik Abdurahim berpendapat bahawa perkembangan industri halal dapat memanfaatkan masyarakat umum Filipina.

"Ia bukan sahaja bermanfaat buat masyarakat Muslim di Filipina, tetapi ekonomi secara umum," katanya.

Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan