Filipina bersikap terbuka meski ketegangan dengan China terus meningkat di Laut China Selatan
Jabatan Pertahanan Filipina menyatakan pada Khamis (8 Mac) bahawa ia bersikap terbuka kepada 'semua pilihan' sedang pertikaian diplomatik dengan Beijing terus meningkat selepas beratus-ratus kapal China dikesan di perairan Laut China Selatan yang dipertikaikan oleh kedua-dua negara itu.
(Gambar: AFP)
MANILA: Jabatan Pertahanan Filipina menyatakan pada Khamis (8 Mac) bahawa ia bersikap terbuka kepada 'semua pilihan' sedang pertikaian diplomatik dengan Beijing terus meningkat selepas beratus-ratus kapal China dikesan di perairan Laut China Selatan yang dipertikaikan oleh kedua-dua negara itu.
Ketegangan di perairan yang kaya dengan sumber semula jadi itu terus memuncak sejak beberapa minggu kebelakangan ini selepas lebih 200 kapal China dikesan di Terumbu Whitsun di Kepulauan Spratly, di mana China dan Filipina menuntut hak ke atas perairan tersebut.
China menuntut hak ke atas hampir seluruh Laut China Selatan dan berkali-kali mengabaikan rayuan Filipina supaya mengundurkan kapal-kapalnya, yang menurut Manila, mencerobohi zon ekonomi eksklusifnya.
Presiden Filipina Rodrigo Duterte kelihatan keberatan untuk bersemuka dengan China berhubung isu tersebut, meskipun salah seorang pegawai kanannya memberi amaran pada Isnin lalu bahawa kehadiran kapal-kapal China akan mencetuskan 'permusuhan yang tidak diingini'.
"Dengan situasi (di Laut China Selatan) berubah, kita bersikap terbuka dalam menguruskan keadaan, termasuk memanfaatkan kerjasama dengan negara-negara lain seperti Amerika Syarikat (AS)," kata jurucakap Jabatan Pertahanan Filipina, Arsenio Andolong, pada Khamis (8 Apr).
Encik Andolong mengeluarkan komen itu selepas Amerika Syarikat mengingatkan China mengenai tanggungjawab Amerika dalam perjanjian antara Washington dengan Manila sekiranya berlaku serangan di perairan itu.
"Serangan bersenjata terhadap angkatan bersenjata Filipina, kapal awam atau pesawat di Pasifik, termasuk di Laut China Selatan, akan mencetuskan kewajiban di bawah Perjanjian Pertahanan Bersama Amerika Syarikat-Filipina," tegas jurucakap Jabatan Negara, Ned Price kepada para wartawan pada Rabu (7 Apr).
Price berkata: "Kami berkongsi keprihatinan sekutu kami, Filipina, mengenai tindakan tentera China di Terumbu Whitsun."
Banyak kapal China dikesan di sekitar kawasan Terumbu Whitsun sejak 7 Mac lalu dan kini jumlahnya semakin meningkat di Kepulauan Spratly, yang juga dituntut oleh beberapa negara lain seperti Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.