Skip to main content

Dunia

Filipina ancam tamat perjanjian ketenteraan dengan AS

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa pihaknya akan membatalkan perjanjian terhadap pengerahan anggota tentera dan peralatan latihan jika Washington tidak mengembalikan visa sekutu politik.

Anggaran Waktu Membaca:
Filipina ancam tamat perjanjian ketenteraan dengan AS

Gambar fail Ronaldo Dela Rosa. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 24 Jan 2020 10:07AM Dikemas Kini : 24 Jan 2020 10:12AM

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa pihaknya akan membatalkan perjanjian terhadap pengerahan anggota tentera dan peralatan latihan jika Washington tidak mengembalikan visa sekutu politik.

Encik Duterte yang kelihatan kecewa, melepaskan kemarahannya terhadap keputusan Amerika Syarikat yang tidak membenarkan kemasukan Encik Ronaldo Dela Rosa iaitu bekas ketua polis yang kini bergelar Senator ke negara itu.

Encik Dela Rosa berkata, Kedutaan Amerika Syarikat di Filipina tidak menjelaskan sebab visanya dibatalkan namun beliau percaya ia kemungkinan besar disebabkan tuduhan terhadap pembunuhan yang tidak dibenarkan secara sah sepanjang lebih dua tahun tempoh perkhidmatannya sebagai ketua polis.

Encik Dela Rosa ialah ketua penguatkuasaan bagi pentadbiran Encik Duterte yang mengamalkan tindakan keras antinarkotik, sekali gus mengakibatkan kematian lebih 5,000 orang, kebanyakannya adalah pengedar dadah secara kecil-kecilan.

Pihak polis menyatakan para mangsa ditembak oleh pegawai sebagai mempertahankan diri.

"Jika anda tidak membetulkan keadaan, saya akan menamatkan pangkalan-pangkalan, Perjanjian Angkatan Lawatan (VFA). Saya memberi tempoh sebulan kepada pemerintah Amerika mulai sekarang," kata Encik Duterte dalam ucapannya.

VFA yang ditandatangani pada 1998, memberikan status sah kepada ribuan tentera Amerika Syarikat yang ada di Filipina secara bersilih ganti bagi menjalani latihan ketenteraan dan operasi bantuan kemanusiaan.

Menteri Pertahanan Filipina, Encik Delfin Lorezana, bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sama ada beliau bersetuju dengan tindakan Presiden itu.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita