Skip to main content

Dunia

Filem P. Ramlee bawa pengajaran rentas zaman

Anggaran Waktu Membaca:
Filem P. Ramlee bawa pengajaran rentas zaman

(Gambar: Astro Awani)

Diterbitkan : 22 Mar 2023 08:33PM
KUCHING: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Sarawak pada Rabu (22 Mac) menganjurkan program tayangan filem dan apresiasi sempena Hari Seniman Kebangsaan.

Filem seniman agung Malaysia Allahyarham P. Ramlee iaitu Anakku Sazali menjadi filem pilihan program yang diadakan di Auditorium Finas Sarawak di Jalan Sultan Tengah di Kuching, lapor Astro Awani.

Pengarah Finas Borneo Mohammad Rizal Mohamed Yunus berkata, acara tersebut diadakan bagi mendedahkan masyarakat kepada filem arahan P.Ramlee selain membincangkan serta mendalami nilai-nilai baik yang boleh menjadi pengajaran kepada penonton.

Jelasnya walaupun karya-karya P. Ramlee sudah lama diterbitkan namun ia masih relevan dan menjadi ingatan sehingga hari ini.

Malah tambahnya filem Allahyarham juga masih menjadi rujukan pembuat filem terutamanya dari aspek teknikal seperti jalan cerita dan juga skrip, menurut laporan Astro Awani.

"Ini menunjukkan kita masih melihat filem P. Ramlee sebagai satu rujukan malah mampu memberi satu inspirasi buat generasi akan datang," katanya semasa menjadi panel program apresiasi yang membincangkan karya P. Ramlee pada acara berkenaan.

Sementara itu, Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak, Dr Adi Badiozaman Tuah berkata filem Anakku Sazali yang dikeluarkan pada tahun 1956 itu menunjukkan bahawa didikan yang baik seperti menjaga adab dan akhlak penting dalam mencorak sikap seseorang individu.

"Daripada filem ini kita boleh belajar bahawa mengasuh anak adalah tanggungjawab ibu bapa dan keluarga, mendidik bangsa adalah tanggungjawab masyarakat dan membentuk generasi muda berwibawa adalah tanggungjawab bersama," katanya yang turut menjadi panel pada acara itu.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita