Filem 'Dirty Vote' mengandungi fitnah, tegas pasukan Prabowo-Gibran

Gibran Rakabuming Raka (kiri) dan Prabowo Subianto (kanan). (Gambar: ADEK BERRY / AFP)
JAKARTA: Pasukan Kempen (TKN) Pilihan Raya gandingan Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka menilai filem dokumentari berjudul 'Dirty Voice' sebagai fitnah dan melanggar undang-undang Indonesia.
Sementara itu, pakar undang-undang perlembagaan yang terlibat dalam penghasilan filem tersebut berkata bahawa mereka belum menerima sebarang penjelasan berhubung bantahan TKN Prabowo-Gibran, lapor Kompas.
Filem karya Dandhy Laksono yang ditayangkan pada Ahad (11 Feb) sekitar pukul 11.00 pagi waktu tempatan, bertujuan untuk mendidik para pengundi tentang penipuan yang berlaku dalam pilihan raya. Filem selama hampir dua jam itu boleh ditonton di YouTube melalui akaun Dirty Vote.
Ia melibatkan tiga pakar undang-undang, iaitu Zainal Arifin Mochtar, Bivitri Susanti dan Feri Amsari.
Di pusat media TKN Prabowo-Gibran di Jakarta pada Ahad (11 Feb), jurucakap Pasukan Undang-Undang dan Advokasi TKN Prabowo-Gibran, Habiburokhman berkata, filem itu mengandungi fitnah yang tidak berasas.
Menurut laporan Kompas, naratif yang terkandung dalam filem tersebut membuat andaian dan tidak memaparkan hasil kajian ilmiah.
“Dalam negara demokrasi, semua orang bebas untuk menyampaikan pendapat. Namun, kita perlu sampaikan bahawa sebahagian besar perkara yang disampaikan dalam filem itu adalah fitnah,” katanya.
Encik Zainal Arifin Mochtar berhujah, pelantikan 20 penyandang jawatan kepala daerah di 20 wilayah yang dikaitkan dengan kawasan-kawasan meliputi lebih separuh daripada jumlah pengundi secara keseluruhannya,dianggap bermotif politik dan bermatlamat untuk menyekat kemenangan salah satu pasangan calon.
TKN Prabowo-Gibran menganggap kenyataan itu sebagai tidak masuk akal. Lebih-lebih lagi, pelantikan kepala daerah yang sudah dipersetujui.
Perkara yang sama juga dibangkitkan oleh Bivitri Susanti yang mempersoalkan penipuan luar biasa dalam Pilihan Raya Presiden dan Parlimen Indonesia 2024.
Encik Habiburokhman menganggap perkara tersebut tidak berasas kerana tidak disebutkan secara khusus mengenai penipuan dan proses perundangan yang sudah berlangsung.
Sungguhpun demikian, TKN Prabowo-Gibran belum menentukan sama ada mereka akan mengambil tindakan undang-undang berhubung tayangan filem Dirty Vote.
Mereka akan memberi masa kepada orang ramai untuk meneliti mesej di sebalik filem tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.