Skip to main content

Dunia

Festival bunga sakura Gunung Fuji dibatalkan dek lebihan pelancong

Anggaran Waktu Membaca:
Festival bunga sakura Gunung Fuji dibatalkan dek lebihan pelancong
Pelancong memandang Gunung Fuji dari Fujikawaguchiko, wilayah Yamanashi, di Jepun pada 23 Oktober 2025. (Gambar fail: Reuters/Kyodo)
Diterbitkan : 05 Feb 2026 09:11PM Dikemas Kini : 05 Feb 2026 09:18PM
TOKYO: Sebuah festival bunga sakura, yang menawarkan pemandangan menakjubkan Gunung Fuji di Jepun, dibatalkan selepas penduduk tempatan mengadu tentang lebihan pelancong yang didorong oleh nilai yen yang lemah.

Bandar Fujiyoshida, di wilayah Yamanashi di tengah Jepun, mengumumkan pada Selasa (3 Feb) bahawa acara yang berlangsung selama beberapa minggu dan menarik sekitar 200,000 orang akan dibatalkan tahun ini kerana "kehidupan tenang penduduk tempatan tergugat".

Sekitar 42.7 juta pelancong membanjiri Jepun pada 2025, jumlah tertinggi setakat ini, mengatasi rekod hampir 37 juta pada 2024 kerana nilai yen yang lemah meningkatkan daya tarikan destinasi popular itu.

Namun, aduan tentang kesesakan meningkat di kawasan tumpuan seperti Kyoto, di mana pelancong dituduh mengganggu penari geisha yang berpakaian kimono dalam keghairahan mereka untuk mengambil gambar.

Di Fujiyoshida, kemasukan pelancong asing menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk dan banyak pembuangan puntung rokok, dengan pencerobohan dan bahkan pembuangan najis di taman dilaporkan oleh penduduknya, menurut bandar tersebut.

"Di sebalik pemandangan indah (Gunung Fuji) adalah realiti bahawa kehidupan tenang penduduk tergugat," kata Shigeru Horiuchi, datuk bandar Fujiyoshida, dalam kenyataannya.

"Bagi melindungi maruah dan persekitaran hidup penduduk kami, kami telah memutuskan untuk menutup tirai bagi festival yang berusia 10 tahun ini."

Bandar tersebut, bagaimanapun, mengakui bahawa walaupun festival itu dibatalkan, tempat acaranya - sebuah taman yang menghadap Gunung Fuji, pokok bunga sakura dan pagoda lima tingkat - mungkin masih akan melihat peningkatan pengunjung apabila musim bunga menjelang.

Bagi menguruskan kemasukan pengunjung di sekitar Gunung Fuji, bandar-bandar berdekatan kini memasang penghadang yang menghalang pemandangan pelancong yang ingin mengambil gambar, memperkenalkan bayaran masuk untuk pendaki dan mengehadkan bilangan harian pengunjung.
 
Sumber : AFP/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita