Feri penumpang terbakar dekat Pulau Langkawi
Sebuah feri penumpang terbakar dalam satu kejadian petang ini. 52 penumpang mujur dilaporkan terselamat.
LANGKAWI: Sebuah feri penumpang terbakar dalam satu kejadian petang ini. 52 penumpang mujur dilaporkan terselamat.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis Kapten Zulinda Ramly berkata, feri tersebut sedang membawa para penumpang dari Terminal Feri Kuah menuju Kuala Perlis semasa kejadian.
"Feri tersebut berlepas pada 2.30 petang dan kira-kira 15 minit selepas perjalanan, berlaku kebakaran di bahagian enjin feri tersebut. Kru feri yang menyedari kejadian itu mengarahkan penumpang berkumpul di bahagian depan feri.
"Kesemua 52 penumpang kemudian dipindahkan ke bot-bot nelayan serta feri berhampiran lokasi yang datang selepas kapten feri berkenaan meminta bantuan," katanya ketika ditemui pihak media di Terminal Feri Kuah hari ini (25 Feb).
Beliau menambah, semua penumpang terselamat tetapi seorang wanita dan lelaki cedera. Mereka sudah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Tinjauan Bernama mendapati penumpang yang terselamat dibawa ke Terminal Feri Kuah dan mereka masih berada di sana setakat 4.30 petang tadi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.