Feri Indonesia terbakar; penumpang terjun ke laut
Pasukan-pasukan penyelamat Indonesia sedang mencari seorang mangsa yang masih hilang setelah beratus-ratus penumpang diselamatkan dari sebuah feri yang terbakar di Laut Maluku, menurut pihak berkuasa tempatan pada Ahad (30 Mei).
Feri KM Karya Indah terbakar pada 29 Mei 2021 dalam perjalanan dari Ternate ke Sanana di Limafatola. (Gambar: AFP/Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia)
JAKARTA: Pasukan-pasukan penyelamat Indonesia sedang mencari seorang mangsa yang masih hilang setelah beratus-ratus penumpang diselamatkan dari sebuah feri yang terbakar di Laut Maluku, menurut pihak berkuasa tempatan pada Ahad (30 Mei).
Kebakaran tercetus 15 minit selepas feri KM Karya Indah bertolak dari ibu kota wilayah Maluku Utara, Ternate menuju ke pelabuhan Sanana di pulau terpencil Limafatola pada sekitar 7.00 pagi waktu tempatan (6.00 pagi waktu Singapura) pada Sabtu (29 Mei), kata Wisnu Wardana, jurucakap Direktorat Jenderal Perhubungan Laut.
Rakaman video telefon bimbit yang dikongsi oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) menunjukkan para penumpang dan anak kapal berpaut pada objek-objek untuk mengapungkan diri dalam keadaan laut bergelora sementara kebakaran yang marak melepaskan kepulan asap hitam ke udara.
Menurut pasukan mencari dan menyelamat, 274 orang berhasil diselamatkan dari feri tersebut tanpa sebarang kecederaan dan dipindahkan ke sebuah kampung berdekatan, sementara seorang lagi masih hilang.
Menurut laporan-laporan awal, kebakaran mungkin bermula dari bilik enjin.
Pihak berkuasa Indonesia sedang menyiasat punca kebakaran itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.