Skip to main content

Dunia

Fenomena El Niño & kesannya terhadap kesihatan awam

Anggaran Waktu Membaca:
Fenomena El Niño & kesannya terhadap kesihatan awam

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 05 May 2023 10:05PM Dikemas Kini : 05 May 2023 11:16PM

KUALA LUMPUR: Fenomena El Niño merujuk kepada keadaan pemanasan alam sekitar yang ekstrem dan melebihi purata suhu semasa permukaan laut.

Indikator suhu ekstrem merujuk kepada peningkatan suhu persekitaran melebihi 37 darjah Celsius dan berupaya meningkat sehingga 40 darjah Celsius dengan kelembapan udara persekitaran rendah serta kering.

Secara meteorologinya, fenomena El Niño juga dikaitkan dengan rentetan fasa permulaan peralihan monsun yang adakalanya menyebabkan hujan lebat serta ribut petir terutamanya pada lewat petang hingga malam.

Umumnya fenomena El Niño bukanlah sesuatu yang baru bagi negara-negara di Asia Tenggara. 

Boleh dikatakan pada setiap tahun bermula Mei hingga hujung Ogos, Malaysia dan negara-negara sekitarnya akan mengalami cuaca panas dan kering yang melampau serta berupaya menyebabkan kemarau di kawasan-kawasan pertanian dan hutan.

Suhu permukaan melonjak naik dan paras air permukaan bumi (sungai/tasik) akan menunjukan penyusutan, kepekatan habuk, debu serta partikel terampai dalam udara juga akan meningkat sekali gus menjadi punca jerebu.

Sudah tentu situasi ekstrem persekitaran seperti El Niño akan memberi kesan yang ketara kepada risiko kesihatan awam.

Fenomena El Niño akan dijelaskan dalam rencana berikut, yang disediakan oleh Pakar Pengurusan Risiko Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Zamil Tetap Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Madya Dr Shamsul Bahari Shamsudin.

EL NIÑO & RISIKO KESIHATAN AWAM

Antara risiko kesihatan yang sering dikaitkan dengan El Niño termasuk kegagalan fungsi organ badan akibat suhu teras badan melebihi 40 darjah Celsius (strok haba), keletihan dan kelesuan, pitam atau pengsan dan kekejangan otot.

Sekiranya gejala-gejala awal itu tidak diberikan perhatian segera dan serius, serta rawatan sewajarnya maka risiko kematian adalah sangat tinggi.

Selain daripada itu, banyak kajian epidemiologi juga mendapati masalah kesihatan kardiovaskular juga mempunyai kaitan dengan keadaan suhu panas melampau.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan kesan kesihatan awam yang terkait dengan fenomena El Niño adalah seperti peningkatan penyakit pernafasan dalam kalangan kanak-kanak dan kumpulan yang berisiko (asma, radang paru-paru, sakit tekak, sakit mata, batuk dan selesema), peningkatan penyakit bawaan vektor (penyakit berjangkit), tekanan psikososial, isu keselamatan dan pemperolehan sumber makanan.

PERSEDIAAN UNTUK HADAPI EL NIÑO

Pemantauan dan pengekalan suhu teras badan antara 36 darjah Celsius hingga 37.5 darjah Celsius (suhu normal) sangat penting. 

Suhu teras badan yang tinggi boleh mengganggu sistem fisiologi dan cecair badan. Pengawalan suhu teras badan boleh dilakukan dengan mengamalkan kaedah berikut:

- Minum air (kosong) setiap kali terasa dahaga. Jumlah dan kekerapan pengambilan air (kosong) mesti dipertingkatkan sepanjang tempoh ini. Air penting bagi mengelak badan mengalami dehidrasi. Elakkan minuman berkafein dan manis kerana ia mempercepatkan dehidrasi.

- Elak dari menghadiri persekitaran dalaman atau luaran yang panas. Cari tempat yang teduh, sejuk, mempunyai penghawa dingin atau sistem pengaliran udara (kipas) yang kondusif serta bersih. Elak dari terdedah kepada sinaran cahaya matahari secara langsung.

- Pakai pakaian yang diperbuat daripada fabrik yang ringan, longgar, sejuk, berwarna terang (putih) dan berupaya meresap haba dan peluh (kain kapas/cotton). Elakkan memakai pakaian berlapis, tebal serta berwarna gelap. Pastikan juga fabrik mempunyai pengaliran udara yang baik.

- Tingkatkan kekerapan mandi atau basahkan kepala. Pengaliran serta pengeringan air pada permukaan kulit akan memberikan rasa sejuk dan berupaya menurunkan suhu permukaan kulit.

- Tingkatkan pengambilan sayur-sayuran atau buah-buahan dan kurangkan makanan tinggi karbohidrat dan protein kerana ia akan menaikkan kadar metabolisme dan memberi kesan peningkatan suhu badan.

KESAN ABAIKAN EL NIÑO

Sekiranya masyarakat tidak mengambil atau melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya untuk satu tempoh masa yang berterusan, maka ia berisiko tinggi untuk mengalami kematian.

Jangan tangguh rawatan atau pemulihan yang berkaitan dengan ketegasan haba kerana ia juga boleh menyebabkan organ dalaman badan seperti buah pinggang, jantung dan hati gagal berfungsi secara biasa. Pencegahan lebih baik daripada merawat, jangan sudah terantuk baru mahu tengadah.

Selain itu, pantau diri dengan membuat penilaian dan kawalan suhu badan (rekod kesihatan) secara kendiri.

Bagi ibu bapa, ia menjadi tanggungjawab anda untuk sentiasa memantau dan mengambil tindakan sewajarnya apabila anak-anak terkesan dengan masalah dehidrasi. 

Segera rujuk dan dapatkan nasihat daripada pakar perubatan sekiranya ada mempunyai gejala berkaitan ketegasan haba/strok haba.

Cuba kurangkan aktiviti di luar rumah atau di tempat terbuka. Patuhi arahan semasa dan makluman kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak Kementarian Kesihatan atau mana-mana agensi yang diberikan tanggungjawab oleh pemerintah.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita